Seorang lelaki tampil memohon maaf kepada Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye susulan kecamannya berhubung larangan merokok di premis makanan yang mula dikuatkuasakan tahun ini.

Lelaki yang berumur 67 tahun itu dinamakan sebagai Cai Chang Fa oleh akhbar Guangming Daily, merupakan salah seorang daripada dua individu yang sebelum ini tular melalui sebuah klip video yang menunjukkan mereka merokok di hadapan papan tanda larangan merokok di pasar di Taiping, Perak.

Kedua-dua mereka juga dikatakan menggunakan kata-kata kesat terhadap Lee dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berhubung larangan merokok berkenaan.

Klip video berkenaan juga menunjukkan salah seorang daripada dua individu berkenaan, mencabar pihak berkuasa untuk menahannya, dengan Cai menambah bahawa dia tidak akan mengundi DAP pada pilihan raya seterusnya.

Pada sidang media selepas lawatan di pasar berkenaan pagi tadi, Lee memberitahu wartawan bahawa beliau menerima permohonan maaf berkenaan dan menganggap perkara itu sudah selesai.

Katanya, kerajaan menerima sebarang kritikan, namun mengingatkan agar orang ramai mengikuti undang-undang.

"Meskipun kita alu-alukan pandangan dan kritikan daripada orang ramai berhubung sebarang undang-undang atau dasar yang kita ambil, kita harap tiada pihak yang mencabar undang-undang," katanya.

Klip video permohonan maaf dan sidang media berkenaan dikongsi di Facebook Lee.

Dalam klip video berkenaan, Cai dilihat menghampiri Lee untuk memohon maaf ketika timbalan menteri itu mengunjungi Pasar Siang Malam Taiping.

Cai berkata dia tidak mempunyai niat buruk dan tidak menyangka klip video berkenaan akan tular.

Lee kemudian meminta Cai agar kurangkan hisap rokok, terutama di kawasan orang ramai.

Menurut Guanming Daily, Cai datang ke pasar berkenaan selepas mengetahui timbalan menteri itu akan membuat kunjungan.

Cai juga memuat naik klip video berdurasi 22 saat memohon maaf kepada Nga.

[Baca berita asal]