Pahat, pisau jadi senjata maut tikam ejen pekerja asing
Mayat seorang ejen pembekal pekerja asing ditemukan dengan 14 kesan tikaman di badan di rumah sewanya di flat Taman Pulasan, Bukit Minyak, Bukit Mertajam hari ini.
Dia mendiami rumah tersebut bersama sekumpulan 10 pekerja asing.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata mangsa R Manogaran, 55, ditemukan dalam bilik rumah itu oleh seorang pemandu van kilang yang mencarinya kira-kira jam 2 petang.
Beliau berkata pemandu van berkenaan memberitahu polis mangsa merupakan ejen pembekal pekerja asing warga Myanmar kepada beberapa kilang di kawasan Bukit Tengah, dan masih bujang.
"Lelaki itu (pemandu van kilang) memberitahu pada pukul 10 pagi, mangsa menghantar pekerja-pekerja asing ke kilang dan memaklumkan mahu pulang ke rumah untuk berehat.
"Empat jam kemudian dia menerima panggilan dari kilang memaklumkan Manogaran tidak menghantar makanan kepada pekerja asing," katanya malam ini.
Nik Ros Azhan berkata pihak kilang memberitahu pemandu van itu bahawa pekerja-pekerja terbabit tidak mahu meneruskan kerja jika mangsa tidak datang menghantar makanan.
Pisau tercacak di perut
Ekoran itu katanya pemandu van terbabit bergegas ke rumah lelaki itu untuk melihat keadaannya.
Nik Ros Azhan berkata rumah mangsa tidak berkunci dan lelaki terbabit masuk sebelum mendapati terdapat kesan darah di bahagian ruang tamu.
Pintu bilik Manogaran pula katanya berkunci.
Menurut Nik Ros Azhan lelaki itu kemudian menyuruh seorang pekerja Myanmar yang tinggal berdekatan memanjat masuk ke bilik mangsa melalui tingkap bilik air dan mendapati mangsa berlumuran darah serta sudah tidak bernyawa.
Katanya mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang dengan lengkap berpakaian serta terdapat sebilah pisau sepanjang 33 sentimeter tercacak di bahagian tengah perutnya.
Pemeriksaan lanjut mendapati ada 13 kesan tikaman di bahagian hadapan serta rusuk dan satu tikaman di bahagian belakang badan.
Katanya, polis turut menemui sebilah pahat sepanjang 23 sentimeter dalam bilik air dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.
"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun siasatan awal kami tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan pembayaran gaji kerana mangsa dikatakan tidak membayar gaji pekerja asing seperti yang dijanjikan," katanya.
Nik Ros Azhan berkata polis sedang mengesan beberapa pekerja asing yang tinggal bersama mangsa bagi membantu siasatan kes itu yang disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
- Bernama

