Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
SPR gesa saksi gambar 'PH agih wang' buat laporan
Published:  Jan 13, 2019 6:16 PM
Updated: 10:16 AM

PRK CAMERON HIGHLANDS | Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun menggesa saksi yang mempunyai maklumat berhubung gambar yang memaparkan wanita berbaju Pakatan Harapan (PH) mengagihkan wang tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Jika anda mempunyai maklumat tentang apa yang jadi ketika gambar itu diambil dan dalam konteks apa gambar itu diambil, tanggungjawab anda untuk melaporkan kepada SPRM atau polis.

"Pihak berkuasa akan menyiasat dan sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah, mungkin akan ada fakta yang dapat ditemukan," katanya dalam kenyataan di Twitter.

Azhar berkata demikian sebagai mengulas gambar yang memaparkan wanita memakai baju kempen PH bagi pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands mengagihkan wang kepada beberapa individu dalam pakaian serupa.

Tambah Azhar lagi, dakwaan yang didasarkan pada gambar hanya "khabar angin" melainkan individu yang merakam gambar itu tampil memberi keterangan berhubung gambar itu.

"Ia hanya khabar angin apabila seseorang itu bergantung kepada kenyataan individu lain untuk membuat dakwaan. Sebuah gambar hanya khabar angin.

"Kecuali anda sendiri yang mengambil gambar itu dan ada hadir untuk memberi keterangan bahawa anda berada di situ ketika kejadian.

"Anda juga perlu menunjukkan bukan saja gambar asal tapi juga kamera yang anda guna," katanya.

Susulan penyebaran gambar berkenaan, beberapa pemimpin pembangkang menyindir dengan memberi gambaran jentera kempen PH "mengagihkan wang" di Cameron Highlands.

Susulan itu, Penolong Ketua Pusat Operasi PH Jelai Arvind Bharet tampil menjelaskan bahawa pihaknya hanya memberikan bayaran balik untuk kos petrol kepada sukarelawan yang menggunakan kenderaan sendiri pada hari penamaan calon semalam.

Jelas Arvind, pembayaran balik itu akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pilihan raya.

"Semuanya dilaksanakan mengikut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini yang disahkan sebagai kenyataan rasmi oleh pengurus kempen PH Wong Kah Woh.

ADS