PKR Pulau Pinang melantik Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Bakhtiar Wan Chik sebagai pengerusi PKR negeri selepas mesyuarat diadakan hari ini yang dipengerusikan oleh Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Baktiar menggantikan Nurul Izzah yang bercuti, kata parti itu dalam kenyataan yang dikeluarkan di Pulau Pinang malam ini.

Timbalan Menteri Pertanian Sim Tze Tzin dilantik sebagai timbalan pengerusi dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Ahmad Zakiyuddin Rahman sebagai naib pengerusi PKR negeri. Manakala Zulklifi Saad dipilih sebagai setiausaha dan Francis Joseph sebagai bendahari.

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan kepimpinan PKR meneynarai pendek tiga calon untuk jawatan itu: Bakhtiar, yang juga anggota parlimen Balik Pulau, Adun Pinang Tunggal, Ahmad Zakiyuddin dan Adun Batu Maung, Abdul Halim Hussain.

Sumber parti yang boleh dipercayai berkata Bakhtiar dilantik sebagai pengerusi PKR negeri kerana statusnya sekarang sebagai timbalan menteri dan anggota parlimen.

Nurul mengumumkan peletakan semua jawatannya dari parti walaupun 13 cabang PKR mahu beliau kekal sebagai pengerusi PKR negeri.

Minggu lepas terdapat rungutan bahawa pengerusi PKR negeri belum dilantik walaupun pemilihan parti itu berakhir dua bulan lalu.

Antara yang lantang membangkitkan perkara itu ialah Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin yang berkata pembangunan di Pulau Pinang akan terjejas disebabkan penangguhan tersebut.

Pada 16 Disember, kepimpinan PKR mengisytiharkan Nurul Izzah, anak sulung Anwar Ibrahim sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.

Beliau juga melepaskan jawatan sebagai naib presiden dan mengatakan tidak akan berkhidmat kepada kerajaan atas apa juga kapasiti.