Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Azmin: Singapura-Malaysia terus kekalkan hubungan kukuh

Memelihara hubungan kukuh antara Singapura dan Malaysia adalah demi kepentingan terbaik kedua-dua negara, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kita jiran terdekat yang dihubungkan dengan ikatan sejarah dan kekeluargaan yang mendalam. Mari kita bekerjasama untuk kesejahteraan dan masa depan rakyat kita,” katanya dalam perkongsian terbaru di Facebook lewat Ahad.

Mohamed Azmin berada di Singapura untuk lawatan bilateral walaupun Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) Ke-14 ditangguhkan, yang pada asalnya dijadualkan hari ini.

Beliau akan tetap mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Nasional Singapura Lawrence Wong dan Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan, seperti yang dijadualkan, untuk membincangkan isu bilateral lain antara Malaysia dan Singapura hari ini.

“Saya yakin pendekatan positif yang diambil kedua-dua negara untuk menangani sebarang isu bilateral. Teruja untuk bertemu menteri Singapura esok (Isnin),” catatnya.

Mohamed Azmin dijadualkan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat JMCIM.

Bagaimanapun, kedua-dua negara senada untuk menangguhkan mesyuarat itu.

Beliau memberitahu pemberita di Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang, Malaysia, pada Sabtu lalu, mesyuarat tersebut ditangguhkan ekoran beberapa isu mesyuarat itu berkait rapat dengan perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat dua hala antara Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya, Balakrishnan Selasa lepas (8 Jan).

Mohamed Azmin mengadakan perbincangan dengan Balakrishnan pada petang Ahad serta makan malam bersama dan menyifatkannya sebagai ‘perbincangan yang produktif’.

“Perbincangan yang produktif dengan YAB Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Luar Singapura , petang ini ketika kami berusaha untuk menyelesaikan beberapa isu dua hala,” catat beliau dalam hantaran yang turut dilampirkan tiga foto beliau dan Balakrishnan.

Sementara itu, Balakrishnan berkata “beliau senada” dengan Mohamed Azmin pada Ahad petang.

“Kami berbincang secara terbuka dan jelas mengenai isu-isu yang sedang kami hadapi.

“Kami mengesahkan bahawa terdapat lebih banyak peluang bagi Malaysia dan Singapura untuk bekerjasama terutamanya pada masa transformasi ekonomi global ini,” katanya dalam catatan di Facebook pada lewat Ahad dan beliau turut melampirkan hantaran gambar beliau dan Mohamed Azmin berjalan di sepanjang Sungai Singapura.

Balakrishnan dijangka menjawab 14 pertanyaan lisan berkaitan isu dua hala dengan Malaysia pada persidangan Parlimen hari ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS