Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
YPJ pertahan pelantikan 2 ketua bahagian Bersatu
Diterbitkan:  Jan 14, 2019 9:32 PM
Dikemaskini: 2:11 PM

Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) mempertahankan pelantikan dua ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Ahli Lembaga Pengarah yayasan itu yang menjadi pertikaian.

Dalam satu kenyataan hari ini, YPJ menjelaskan bahawa pelantikan ahli lembaga pengarah itu dibuat berdasarkan kelayakan akademik dan pengalaman dalam bidang pendidikan dan korporat.

"Kedudukan politik tidak pernah dijadikan merit dalam pemilihan Ahli Lembaga Pengarah YPJ," kata kenyataan itu petang tadi.

Menurut kenyataan itu lagi, Zais Mohd Akil merupakan mantan Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar di Kementerian Pelajaran Malaysia (2005-2008) dan juga merupakan bekas Pengetua di Maktab Sultan Abu Bakar.

"Beliau juga pernah bertugas di Jabatan Pelajaran Johor sebagai Ketua Penolong Pengarah selama 19 tahun.

"Manakala Karmaine Sardini pula merupakan bekas guru di Sekolah Menengah Teluk Kerang, Pontian sebelum meneruskan pelajaran dalam bidang seni bina. Beliau pernah berkhidmat sebagai arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (1980-2000)," jelas kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat dan StrategikYPJ.

Untuk rekod Zais ialah ketua bahagian Bersatu Johor Bahru, manakala Karmaine pula ketua bahagian Bersatu Tanjung Pia.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya berjanji akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan profesional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

Terdahulu bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyindir pelantikan dua pemimpin Bersatu itu sebagai ahli lembaga pengarah YPJ.

Melalui ciapan di Twitter, Khairy berkata Bersatu tidak segan lagi dengan lantikan politik.

"Pelantikan lembaga baharu Yayasan Pelajaran Johor. Sekurang-kurangnya 'coverlah' sikit jawatan politik tu. Letaklah jawatan NGO kangkung mana-mana pun. Ni dah tak kisah nak cover, dah tak segan."

"Parti menguasai kerajaan! Hidup Malaysia Baharu! " ciap KJ yang turut diserati risalah pelantikan berkenaan.

Sementara itu, kenyataan YPJ berkata yayasan berkenaan merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab membantu pembangunan pendidikan dan modal insan kepada warga Johor di seluruh negara.

Selain daripada pembangunan pendidikan, YPJ juga katanya memfokuskan kepada sektor peeladangan, hartanah dan pembinaan melalui anak-anak syarikat YPJ seperti YPJ Holdings, YPJ Builders, YPJ Multi-Ventures dan YPJ Plantations.

"Pelantikan Zais dan Karmaine dibuat dengan keyakinan bahawa kedua-dua individu tersebut mampu membantu YPJ dalam meneruskan misi membangunkan pendidikan dengan berbekalkan pengalaman luas dalam bidang masing-masing," katanya.

Lihat Komen
ADS