Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kenapa ROS hantar surat pada 2 kem MyPPP - Penganalisis

Tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menghantar surat pembubaran kepada kedua-dua kem MyPPP boleh dipersoalkan kerana boleh mengelirukan lagi keadaan, jelas seorang penganalisis politik.

Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata timbul pertanyaan ROS mengenai pengiktirafan terhadap dua kem yang terlibat dalam pertikaian itu.

"Kenapa ROS menghantar surat pembatalan kepada kedua-dua kem? Ini cuma akan mengelirukan lagi keadaan. Kem siapa ROS nak iktiraf sekiranya kedua-dua kem menghantar rayuan?

"Sepatutnya, ROS perlu menjelaskan pihak mana yang mempunyai hak untuk membuat rayuan. Ia akan menyenangkan proses rayuan," kata beliau.

Dr Sivamurugan juga menyarankan parti MyPPP yang dibatalkan pendaftaran perlu menyelesaikan krisis dalaman dahulu sebelum membuat rayuan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Bukan kali pertama

"Saya rasa kasihan dengan pembatalan pendaftaran parti tersebut yang merupakan salah sebuah parti politik tertua di negara.

"Namun, ini bukan kali pertama parti tersebut menghadapi isu undang-undang. Dari awal 90-an parti itu menghadapi krisis dalaman.

"Saya berpendapat pemimpin-pemimpin MyPPP yang kini berpecah kepada dua kem perlu duduk semeja untuk menyelesaikan krisis dalaman sebelum membuat sebarang rayuan kepada ROS," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, ROS membatalkan pendaftaran MyPPP berkuatkuasa serta merta.

Pembatalan itu dimaklumkan oleh Pendaftar Pertubuhan Masyati Abang Ibrahim kepada parti dengan salinan kepada pemimpin-pemimpin hari ini, melalui sepucuk surat.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan rayuan yang didapati "tidak menunjukkan sebab-sebab yang cukup di sebaliknya".

"Maka oleh itu, diperintahkan pendaftaran pertubuhan yang namanya tersebut di atas dibatalkan mulai tarikh perintah ini," menurut salinan surat itu yang dilihat Malaysiakini.

Bebas atau mesra BN

Berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, keputusan itu boleh dirayu dalam tempoh 30 hari.

Parti berkenaan sebelum ini mengalami krisis kepimpinan apabila dua kem masing-masing mendakwa menerajui parti itu.

Kumpulan bekas timbalan menteri M Kayveas mengisytiharkan MyPPP sebagai bebas dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Kem bekas timbalan menteri Maglin D' Cruz (gambar) pula berkata MyPPP adalah parti mesra BN.

Surat pembubaran parti itu dihantar kepada kedua-dua kem.

Ditanya mengenai masa depan parti tersebut, Sivamurugan mengakui masa depan ahli parti merupakan perkara paling penting dalam krisis parti itu.

"Yang paling penting sekarang, masa depan dan hala tuju partinya. Ke mana ahli parti nak pergi? 

"Menunggu sehingga keputusan rayuan ROS atau menyertai parti lain. Itu yang penting. Bagi tujuan, saya harap kedua-dua pihak MyPPP perlu mencapai satu penyelesaian yang positif," katanya lagi.

ROS jangan iktiraf parti baru

Dalam satu perkembangan berkaitan, Pengarah Komunikasi PKR Melaka, G Rajendran meminta Pendaftar Pertubuhan supaya tidak lagi mengiktiraf parti politik baru.

"Saya menyeru ROS tidak lagi menerima permohonan parti politik baru. 

"Kalau sekadar nak menerima rayuan parti MyPPP dan parti-parti yang lain. Jangan menerima permohonan baru lagi.

"Saya faham adalah hak setiap warga Malaysia boleh menubuhkan parti. Tetapi, sikap tamak dan ego beberapa pemimpin menyebabkan kini kita 'dibanjiri' dengan kemunculan parti-parti politik baru," katanya.

Rajendran mendakwa buat masa ini, hampir 44 permohonan parti politik baru dibawah ROS.

"Semua nak tubuh parti politik. Ada parti politik mengadakan mesyuarat agung tahunan hanya dihadiri oleh anggota keluarga dan saudara-mara pengerusi parti sahaja," katanya.  

Lihat Komen
ADS