Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) pertimbangkan untuk memberikan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada setiap pemandu teksi.

Menurut Najib, pemandu teksi berpendapatan tidak menentu untuk memiliki rumah.

“Inilah yang mereka tak puas hati dan selain itu kebajikan mereka, khususnya perumahan, banyak mereka tak dapat PPR, walaupun dah mohon tapi tak dipertimbangkan.

“Saya ingat ini tak adil pada mereka kerana mereka rakyat Malaysia yang bekerja keras, kerja waktu begitu panjang memerlukan rumah dengan bayaran habis minimum kerana pendapatan mereka tak menentu.

“Saya berpendapat bahawa kerajaan patutlah pertimbangkan dan beri rumah-rumah PPR kepada pemandu teksi,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di rumahnya, di ibu negara, hari ini.

Sebelum itu beliau bertemu dengan pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail dan beberapa wakil-wakil pemandu teksi yang lain.

Najib berkata, ketika pertemuan itu beliau juga mendengar keluhan daripada pemandu teksi yang tidak berpuas hari dengan perkhidmatan e-hailing terutamanya yang mengambil dan menurunkan penumpang di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

“Blue Taxi lahirkan rasa tak senang hati pada e-hailing. Syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan kepada Grab juga terlalu longgar.

“Mereka boleh pakai seluar pendek (untuk ambil penumpang).

“Selain itu, di KLIA seumpamanya Grab boleh tempatkan kereta di situ sebagai hab dan kalau kita lihat tafsiran e-hailing, tak boleh tempatkan kereta di situ, dia kena bergerak.

“Bila ada keperluan baru datang. Tapi di KLIA seolah-olah dia (Grab) jadi perkhidmatan teksi,” katanya.

Anggota parlimen Pekan turut berikrar akan turun padang melihat permasalahan yang dihadapi pemandu teksi.

Sementara itu, Najib ketika ditanya masalah yang dihadapi pemandu teksi bukan isu baru sebaliknya berlaku di era BN, berkata pihaknya telah berusaha membantu golongan itu sebaik mungkin.

Katanya lagi, beliau turut mencari formula menyelesaikan masalah e-hailing yang mendatangkan masalah kepada pemandu teksi.

“Kita ada program istimewa untuk pemandu teksi ketika itu, contohnya kita beri geran RM5,000 kepada pemandu teksi untuk beli teksi baru… kita juga beri tayar percuma dan juga Bantuan Kos Sara Hidup (BR1M).

“Kita tetap cari formula untuk selesaikan pemandu teksi,” katanya.

Lihat Komen
ADS