Penasihat media perdana menteri A Kadir Jasin disiasat polis kali kedua hari ini susulan tulisannya berkaitan isu raja-raja Melayu.

Katanya, beliau disiasat di ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur susulan ulasannya di blog pada 30 Oktober lalu yang mengulas pertabalan Sultan Kedah Tuanku Sallehuddin Sultan Badlishah lapan hari sebelum itu.

“Saya bertanya kepada pegawai penyiasat (dua orang) berapa banyak aduan yang dibuat terhadap saya bersabit tulisan itu. 

"Kata mereka 14 (aduan).

“Inilah kali kedua saya disiasat bersabit tulisan saya yang menyentuh mengenai Raja-raja,” kata tokoh wartawan negara yang pernah memimpin Kumpulan New Straits Times itu.

Katanya, beberapa orang ketua Umno dan seorang ketua PKR telah membuat laporan polis menuduh beliau menghina sultan Kedah.

Kadir sebelum ini disiasat kerana aduan bersabit tulisannya bertajuk “Masukkan institusi raja dalam reformasi” yang disiarkan sebuah akhbar pada 27 Mei lalu.

Bagaimanapun, menulis di blog, Kadir berkata beliau tiada masalah dengan siasatan itu.

“Saya tidak ada masalah disiasat kerana ada ilmu yang boleh dipelajari ketika disiasat dan pencerahan yang boleh saya bagi kepada pegawai penyiasat ketika mereka menyiasat,” katanya.

“Terima kasih banyak-banyak kepada peguam Haniff Khatri dan terima kasih kepada semua.”