Hisham: Kempen saya di Cameron lenyapkan spekulasi
Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein berkata pelbagai spekulasi mengenainya sebelum ini termasuk dikatakan akan keluar parti, terbukti salah apabila beliau turun berkempen pada pilihan raya kecil Cameron Highlands.
Katanya, ia juga sekali gus melenyapkan desas desus bahawa beliau akan menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
"Kalau dulu spekulasi kata saya nak keluar, saya masih ada di sini kempen di Cameron.
"Kalau kata saya nak masuk Bersatu, saya tak masuk Bersatu. Kata saya nak bawa berpuluh MP keluar, yang keluar tu beberapa kerat je," katanya kepada wartawan di Cameron Highlands hari ini.
Hishammuddin diiringi Timbalan Presiden MIC, M Saravanan dan timbalan presiden MCA Mah Hang Soon ketika menemui pengundi di Brinchang.
Anggota Parlimen Sembrong berkata, gambar beliau bersama timbalan presiden PKR, Mohamad Azmin Ali di Maghribi baru-baru ini juga menyebabkan timbul pelbagai spekulasi.
Begitu juga gambar terbaru beliau makan malam bersama bekas perdana menteri Najib Razak, presiden Umno yang sedang bercuti, Ahmad Zahid Hamidi dan pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan.
"Jadi benda ni cukup-cukuplah. Saya tengok orang yang nak cari makan buat spekulasi.
"Kalau kita tak bersatu mereka ada ruang untuk memposisikan kedudukan masing-masing dan mencari makan untuk diri dia," katanya.
Mengenai khabar angin enam anggota parlimen yang keluar Umno Disember lalu akan kembali ke pangkuan parti itu, Hishammuddin berkata beliau tidak ada kena mengena dengan mereka.
"Saya tak dapat info daripada enam MP tu. Saya rasa tak wajar pun kita gembar-gemburkan enam MP ni.
"Kalau mereka nak balik pun, kalau kita cerita ni kat khalayak ramai mana mereka nak letak air muka dia. Kalau betul-betul nak ikhlas balik, biarkan, mereka boleh sedar sendiri.
"Tapi bila dah heboh dalam social media, kita pun ada maruah," katanya.

