Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kerjasama Umno, PAS strategi ampuh menang PRU - Tajuddin

Kerjasama Umno, PAS kini semakin baik selepas dua parti dominan Melayu itu bersatu dalam satu perhimpunan raksasa anti konvensyen PBB mengenai kesaksamaan kaum yang menghimpunkan puluhan ribu umat Islam di ibu negara baru-baru ini, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, Himpunan Perpaduan Ummah di Kampung Gajah, Pasir Salak pada 17 September tahun lalu menjadi pencetus kepada kerjasama dua parti itu.

Katanya, kerjasama Umno dan PAS penting sekiranya pembangkang ingin membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Malah katanya, rakan komponen BN iaitu MCA dan MIC juga sudah dapat menerima kerjasama Umno, PAS dan ia diterjemahkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

"Itu sebab Umno dan PAS kena bersatu. PAS dan Umno bersatu adalah satu formula yang paling tepat untuk menang (PRU ke-15).

"Itu yang saya bawa, saya memulakan langkah kerjasama Umno, PAS melalui perhimpunan Melayu bangkit, dari situ angin perubahan kerjasama Umno, PAS berlaku.

"Kerjasama itu semakin kukuh, misalnya di Cameron Highlands PAS ambil keputusan tidak bertanding, bila Ramli Mohd Nor bertanding MCA, MIC boleh terima.

"MCA dan MIC faham kerjasama Umno, PAS bukan penghalang, senario sudah berubah," katanya pada Sesi Teh Tarik Bersama Media di Kuala Lumpur, semalam.

Kerjasama Umno, PAS tercetus apabila BN tewas dalam PRU ke-14 lalu selepas lebih 60 tahun mentadbir negara.

Umno memulakan langkah kerjasama apabila buat pertama kalinya menghadiri Mukatamar Tahunan PAS di Kuala Terengganu.

PAS kemudian "membalasnya" dengan menghantar wakil parti itu menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2018.

Malah, PAS dan Umno juga turut sepakat dalam soal calon Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung sebelum ini.

Terbaru PAS tidak meletakkan calon pada PRK Cameron Highlands, namun menggerakkan jenteranya bagi berkempen memenangkan calon BN.

Begitu juga PAS membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sementara itu Tajuddin berkata beliau yakin dengan senario itu, kerjasama dua parti terbabit akan terus bertambah baik di masa depan.

Tajuddin berkata, situasai kini sudah berbeza dan orang-orang Umno tidak boleh lagi sombong.

Katanya, beliau juga turut menempelak sikap bekas menteri BN yang sebelum ini sombong dengan rakyat.

Namun katanya, meskipun bekas menteri BN sombong dengan rakyat, namun menteri Pakatan Harapan (PH) lagi hebat apabila "sombong dengan Tuhan."

Sebagai sandaran bukti keangkuhan itu, Tajuddin memetik kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata "malaikat pun boleh buat silap" ketika mempertahankan PH terhadap kritikan gabungan itu membuat 'pusingan U' dalam dasar dan manifestonya.

"Ada kala kami ambil jalan yang salah dan kami patah balik, tetapi bila perlu sahaja.

"Kami bukan sempurna... Tetapi malaikat (angels) pun boleh buat silap.

"Dan bila malaikat buat silap, mereka patah balik," katanya secara berkias pada 8 Disember lalu.

Lihat Komen
ADS