Malaysiakini BERITA

Persatuan pencetak bidas k'jaan beri projek buku teks guna rundingan terus

Faisal Asyraf  |  Diterbitkan

Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia mempersoalkan keputusan Kementerian Kewangan meluluskan pengambilalihan buku teks melalui rundingan terus.

Persatuan itu mendakwa pengambilalihan pencetakan buku teks bagi program dwibahasa (DLP) diberikan kepada penerbit awam dan bukannya pencetak.

Dalam kenyataan 13 Jan lalu, Kementerian Kewangan menyatakan bahawa kelulusan khas bagi pemerolehan buku teks September tahun lalu adalah bagi memenuhi keperluan pelajar dalam tempoh yang segera.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa Kementerian Kewangan sudah mempertimbangkan permohonan daripada kementerian lain atau agensi yang mempunyai keperluan mendesak untuk dilaksanakan melalui rundingan terus untuk proses pemerolehan.

Bagaimanapun, 16 Jan lalu, Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan yang berkata buku teks, termasuk bagi subjek Matematik dan Sains tingkatan 3, akan dibekalkan dan diedar pada Mac dan bukannya Januari.

Presiden persatuan itu, Muhammed Farhan Basheer menyorot keputusan kementerian itu dan berkata ia telah menyebabkan kelewatan pengedaran buku teks berkenaan.

"Apa pun alasan yang diberikan, Kementerian Kewangan seharusnya membuat tender terbuka dan bukannya rundingan terus bagi mengelakkan ia diberikan kepada kroni atau pihak yang tidak layak.

"Untuk apa syarikat bumiputera mengeluarkan banyak modal untuk membeli peralatan mencetak jika hak mereka dinafikan?" kata Farhan pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Farhan juga mempersoalkan sama ada berlaku kronisme dalam kerajaan.

"Persoalan yang perlu dijawab adalah kenapa projek itu diberikan kepada penerbit dan bukannya kepada ahli persatuan? Adakah penerbit mempunyai kemampuan membuat cetakan dalam skala besar?

"Adakah wujud kronisme dalam kerajaan?" soalnya.

[Baca berita penuh]