Tiada kenaikan harga makanan di kantin sekolah di Perlis - KPDNHEP
Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis mendapati harga makanan dan minuman di kantin sekolah di negeri itu masih terkawal dan tidak berlaku kenaikan.
Pengarahnya Khairul Amin Talib berkata perkara itu dikesan dalam pemeriksaan di 17 kantin sekolah menengah dan rendah terpilih di seluruh negeri sejak tiga hari lepas.
“Pejabat ini akan membuat pemeriksaan mengejut di mana-mana kantin sekolah jika menerima aduan namun sehingga hari ini tidak ada yang mengadu,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan di Sekolah Rendah Islam I hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perlis Mohd Sakhri Mohd Salleh.
Media sebelum ini melaporkan KPDNHEP menerima aduan pengguna berhubung kenaikan harga makanan di kantin sekolah selain tindakan pengusaha tidak meletakkan tanda harga pada makanan.
-- Bernama

