Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
FUFC bariskan 60 peratus pemain warga FELDA
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 3:49 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Selepas dilanda kemelut kewangan sejak akhir tahun lepas, pasukan Felda United FC (FUFC) mengambil langkah proaktif dengan membariskan 60 peratus pemain muda warga Felda untuk musim 2019.

Presiden FUFC, Anuar Malek berkata pendekatan itu adalah bagi memastikan pasukan itu dapat pulih daripada kemelut tersebut, selain memberikan peluang kepada anak-anak warga Felda membuktikan kemampuan mereka dalam bola sepak.

Bagi musim ini, skuad 'The Fighters' membariskan seramai lapan pemain yang merupakan warga Felda, manakala tujuh pemain naik menerusi program pembangunan Felda, katanya.

Anuar yang juga merupakan Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Felda turut berjanji bahawa pihaknya akan menyelesaikan tunggakan gaji dan bonus kepada pegawai dan pemain musim 2018, yang membantu FUFC muncul juara Liga Premier, dalam masa dua bulan lagi.

"Saya baharu 11 hari memegang jawatan (presiden) ini, kami sedang melihat penyelesaian masalah-masalah yang ada. Kita telah berbincang dengan pengurusan tertinggi dan mereka dah bersetuju membantu kita menyelesaikan tunggakan itu secara berperingkat.

"Buat masa ini kita sudah membayar gaji sebulan, kini tinggal dua bulan lagi dan kami akan berusaha untuk menyelesaikannya. Ini merupakan kali pertama FUFC mengalami masalah tunggakan gaji," katanya pada sidang media selepas majlis memperkenalkan pemain import FUFC di Institut Semarak di sini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa bekas ketua jurulatih pasukan itu, B. Sathianathan mahu membawa isu tunggakan gaji dan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Anuar berkata pihaknya juga akan berbincang dengan FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menangani isu itu secara profesional, selain seboleh-bolehnya tidak mahu geran pasukan itu dipotong MFL untuk melangsaikan hutang tersebut.

Selain mengekalkan tonggak pertahannya dari Brazil, Thiago Junio De Aquino, FUFC membawa masuk tiga pemain import baru bagi mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Mereka adalah pemain tengah, Jocinei Schad, 29, dari Brazil, penyerang dari Bahrain, Jaycee Jhon Okwunwanne, 34, serta pemain tengah yang turut boleh beraksi pada posisi penyerang, Kei Ikeda, 33, dari Jepun.

Penjaga gol Norazlan Razali, Mohamad Hadin Azman, D. Christie Jayaseelan dan S. Chanturu, ketiga-tiganya pemain tengah, merupakan antara pemain berpengalaman dalam pasukan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih FUFC, Mohd Nizam Jamil yakin anak-anak buahnya mampu memberikan saingan kepada pasukan lain, walaupun masih muda dan kurang pengalaman beraksi di saingan liga tertinggi itu.

"Pemain-pemain ini perlu diberikan peluang untuk menunjukkan siapa mereka walaupun sekarang ini kita belum mengetahui kemampuan sebenar mereka.

"Saya rasa mereka juga akan menunjukkan usaha yang lebih dan bermain dengan bersungguh-sungguh kerana sebagai warga Felda, mereka mempunyai ‘semangat kita punya’ dan mencintai pasukan," katanya.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS