Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hospital sakit jiwa buka pintu buat calon kalah pilihan raya
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 7:59 PM
Dikemaskini: 11:59 AM

GLOBAL | Sengitnya persaingan pemilihan umum di Indonesia memang sudah diketahui ramai.

Menjelang pilihan raya umum negara itu yang akan berlangsung kurang dari 90 hari lagi, sebuah hospital sakit jiwa membuat persediaan apa yang dirasakan mereka perlu.

Bagi menghadapi kemungkinan ramai calon yang murung kerana kalah Hospital Mental Mahoni di Medan menyediakan empat wad VIP dan enam wad kelas satu untuk sesiapa yang memerlukan.

Pengerusi Yayasan Hospital Mental Mahoni Alvin Syahrial, mereka memberi jaminan pesakit yang mendaftar masuk ke situ akan dipantau berbelas-belas doktor pakar.

Katanya pegawai perubatan itu memang doktor yang terlatih untuk merawat masalah kemurungan.

Menurut Alvin ada banyak sebab mengapa seseorang calon akan mengalami kemurungan atau tekanan jiwa selepas menyertai pilihan raya.

“Salah satunya, kerana mereka membelanjakan wang hingga ratusan juta rupiah semasa proses pilihan raya, tetapi (tetap) gagal terpilih,” katanya seperti dipetik Tempo.

Ada sofa, ada TV

Indonesia akan mengadakan pilihan raya umum pada 17 April ini dan serentak dengan pemilihan presiden.

Joko Widodo akan cuba mendapatkan mandat untuk penggal kedua dan sekali lagi dicabar bekas pegawai kanan tentera era Suharto, Prabowo Subianto.

Tidak seperti sesetengah negara Asia Tenggara, Indonesia mengumumkan tarikh pilihan raya umum dan presiden jauh lebih awal untuk memberi peluang adil kepada semua pihak membuat persediaan.

Indonesia juga mengadakan pemilihan bagi memilih ketua-ketua masyarakat setempat.

Prabowo (kiri) sekali lagi menyertai pemilihan presiden bersama calon naib presiden, Sandiaga Uno

Kali ini sebanyak 575 kerusi dipertandingkan bagi peringkat dewan perwakilan rakyat, 136 dewan perwakilan daerah, 2,207 dewan perwakilan rakyat wilayah dan 17,610 dewan perwakilan rakyat bandar/daerah.

Tempoh berkempen pula bermula pada 23 September tahun lalu dan akan tamat pada 13 April nanti.

Kata Alvin selain diberikan ubat penenang, pesakit di hospital swasta itu juga akan diberikan terapi melalui aktiviti keagamaan, olahraga, serta motivasi supaya dapat bersemangat semula.

“Dalam wad VIP, pesakit akan dilayan sebaik mungkin, seolah-olah berada di rumah sendiri, lengkap dengan kemudahan televisyen, penyaman udara, bilik mandi, dan juga sofa bagi keluarga yang hendak datang melawat,” tambah Alvin lagi.

Sebelum ini pun kata Alvin hospital itu pernah menerima dua bekas calon pilihan raya yang kalah pada 2014 lalu.

“Selain itu (ketika itu), ada puluhan lagi calon yang berubat untuk mengatasi gangguan mental atau kemurungan.

“Berapa lama mereka dirawat, bergantung pada tahap kemurungan dan kejutan yang dialami pesakit,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS