Paling Popular
Terkini

PRK CAMERON | Kelab Veteran Umno mempersoalkan kesungguhan MCA membantu memenangkan calon BN kerana mendakwa tiada kelibat jentara parti itu setakat ini.

Setiausaha agungnya Mustapha Yaakub berkata sepanjang empat hari mereka berkampung di Tanah Rata dan Jelai, kelibat jentera kempen MCA tidak kelihatan di situ.

Selain Umno, kata Mustapha, hanya MIC dan PAS dilihat bersungguh-sungguh menggerakkan jentera masing-masing bagi membantu Ramli Mohd Nor mempertahankan kerusi itu daripada dirampas PH.

"Setakat ini yang aktif hanyalah jentera Umno dan MIC, tak nampak pula MCA turun berkempen.

"Begitu juga PAS nampaknya tampil bersungguh-sungguh bagi membantu memenangkan calon BN," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun menurut Mustapha selama empat hari mereka berada di dua lokasi berkenaan hanya pemimpin MCA peringkat akar umbi ada membantu.

"Tak tahulah kalau jentera mereka (MCA) akan turun saat-saat akhir," katanya.

Ada kaitan dengan Semenyih

Untuk rekod hubungan MCA dengan Umno memang dingin sejak parti Melayu itu menjalin hubungan yang mesra dengan PAS.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila BN gagal mendapat mandat untuk memerintah semula dan kehilangan kuasa pada PRU ke-14 yang diadakan pada 9 Mei 2018.

Pada 2 Dis lalu pula MCA meluluskan resolusi untuk menggesa BN dibubarkan agar pakatan baru dalam dibentuk.

Bagaimanapun BN ketika itu yang dipimpin Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan perikatan itu tidak akan dibubarkan.

Mustapha

Sementara itu Mustapha berkata kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands amat penting bagi memastikan parti itu mendapat suntikan moral untuk terus bangkit selepas kalah dalam PRU.

Katanya kini adalah masa terbaik untuk BN melakukan kebangkitan semula memandangkan rakyat yang mengundi PH sudah muak dengan sikap mereka yang gagal menunaikan janji.

"Kemenangan di Cameron Highlands penting untuk memastikan BN masih relevan selain penambahbaikkan perlu dilakukan," katanya.

Sementara itu, nada sama juga disuarakan Ketua Pemuda Umno Selangor Rizam Ismail yang menyifatkan kemenangan BN di Cameron Highlands penting supaya momentum itu diteruskan pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Katanya, Umno Selangor yakin BN mampu merampas DUN Semenyih sekiranya berjaya mencipta kemenangan awal di Cameron Highlands.

"Bagi saya kemenangan PRK Cameron Highlands penting untuk rakyat beri isyarat kepada kerajaan bahawa mereka tidak mudah ditipu.

"Kemenangan di Cameron Highlands penting bagi BN mencipta kemenangan di Semenyih sekali gus memperkukuhkan kedudukan pembangkang di DUN Selangor," katanya.

Lihat Komen
ADS