Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS hari ini mempertikaikan keputusan Putrajaya mengemukakan saman kepada kerajaan Kelantan ketika PH menghadapi pilihan raya kecil di Cameron Highlands.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang langkah itu menimbulkan tanda tanya kerana isu berkenaan bukan baru terjadi, sebaliknya sudah lama.

Bercakap kepada wartawan selepas majlis perasmian Seminar Sejarah PAS di Taman Melewar, Kuala Lumpur hari ini Abdul Hadi berkata langkah berkenaan mencurigakan dan media wajar membangkitkannya.

“Saya nak tanya kenapa kerajaan pusat bawa isu ini masa PRK Cameron Highland. Tu (media kena) siar tu. Kenapa masa PRK, (sedangkan) benda ini dah lama. Adakah mereka nak berkempen sama (dalam) pilihan raya?

“Kenapa pilih masa PRK, baru terfikir masa PRK? Sebelum ni tak terfikir (sedangkan) benda ni dah lama dah,” katanya.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin kemudian mencelah Abdul Hadi dengan mengemukakan soalan: "Adakah Tommy Thomas sudah bermain politik sebagai peguam negara?"

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut ada dalam sidang media itu pula berkata, ini adalah kali pertama dalam sejarah Putrajaya memfailkan saman kepada kerajaan negeri.

Didakwa tak berunding

“Saya ingat ni kali pertama tak pernah berlaku dalam sejarah. Sebab diperinagkat negeri kita ada penasihat undang-undang mewakili kerajaan negeri.

“Sepatutnya apa-apa perkara kena rujuk kepada penasihat undang-undang dulu. Tak boleh bertindak terus saman kerajaan negeri,” katanya.

Semalam, kerajaan pusat - atas arahan kabinet - memfailkan saman sivil terhadap Kelantan kerana didakwa menceroboh tanah Orang Asli suku Temiar di negeri itu. 

Peguam Negara, Tommy Thomas melalui kenyataannya berkata, saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Menurutnya, kerajaan negeri Kelantan dan agensinya telah memberikan hak pembalakan di Gua Musang kepada beberapa syarikat swasta tanpa berunding dengan masyarakat Orang Asli Temiar atau menawarkan pampasan kepada mereka.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan memandang serius pencerobohan tanah tersebut.

Sementara itu Takiyuddin berkata sudah ada sekumpulan peguam terkenal menawarkan diri untuk membela kerajaan Kelantan secara percuma.

Beliau yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata peguam terbabit sudah bergabung untuk memberikan khidmat mereka menghadapi saman dari Putrajaya.

“Mereka akan berkhidmat secara percuma membela kes saman kerajaan pusat,” katanya.

Lihat Komen
ADS