Pelantikan pemangku pengerusi PKR negeri Pulau Pinang yang baru disifatkan sebagai suatu tindakan yang tidak betul, kata bekas pengerusi PKR negeri itu Mansor Othman.

Mansor ketika menyuarakan pandangannya berkata pelantikan kepimpinan negeri yang dibuat pada mesyuarat minggu lepas yang dipengerusikan oleh Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar itu dianggap tidak betul.

"Pelantikan itu tidak betul. Jikalau pelantikan itu dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim (Presiden PKR), itu baru betul.

"Dalam mesyuarat itu juga beberapa Ketua Cabang tidak ada, saya tidak ada, Bukit Mertajam tidak ada, Tanjong pun tidak ada," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di Guar Petai di Tasek Gelugor hari ini.

Mansor, yang juga Anggota Parlimen Nibong Tebal berkata mensyuarat berhubung pelantikan pengerusi berkenaan sepatutnya dipengerusikan oleh Anwar.

Mansor turut mempertikaikan berhubung pelantikan pemangku bagi jawatan itu.

"Lantik pengerusi teruslah, jangan memangku, kenapa memangku. Buat dengan betullah, anda mahukan sebuah parti yang bagus, parti demokratik, dihormati oleh semua, buatlah dengan betul, anda bercakap mengenai demokrasi, mengenai prosidur yang betul, jadi lakukanlah," katanya.

Ahad lepas, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilantik sebagai pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang menggantikan Nurul Izzah yang mengumumkan perletakan jawatannya Disember lepas.

Pelantikan Muhammad Bakhtiar, yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau, dibuat pada mesyuarat tertutup Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Nurul Izzah di Yayasan Aman.

Pada 17 Dis lepas, Nurul Izzah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR selain melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang, yang dilantik.

Nurul Izzah, yang digelar sebagai ‘Puteri Reformasi’ sejak permulaan era gerakan Reformasi bagaimanapun berkata beliau akan kekal sebagai anggota biasa PKR dan Anggota Parlimen Permatang Pauh sehingga tamat penggal.

- Bernama