Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tender beli baju kalis api bomba dibuka minggu ini
Diterbitkan:  Jan 20, 2019 3:49 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membuka tender bagi pembelian baju kalis api untuk kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 23 Jan ini.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata ia satu keperluan memandangkan banyak baju kalis api tidak menepati piawaian yang dibenarkan untuk kegunaan ketika operasi anggota JBPM.

"Walaupun ketetapan ketika ini hanyalah 6,000 baju kalis api tapi saya akan minta (pada kabinet) untuk menaikkan jumlah itu kepada 9,000 helai.

"Kita mesti ada stok sekiranya ada baju kalis api yang rosak. Perancangan perlu mengambil kira rancangan jangka masa panjang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Pasukan Bomba Sukarela Marin (PBSMarin) di Balai Bomba Sukarela Marin, Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Amer Yusof dan Pengarah JBPM Kelantan Nazili Mahmood.

PBSMarin adalah pasukan bomba sukarela pertama seumpamanya ditubuhkan di negara ini oleh JBPM bagi membantu jabatan itu menjalankan kerja-kerja penyelamatan terutama di laut.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang bermula Jumaat lepas akan mencari jalan penyelesaian terbaik sekali gus dapat menegakkan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.

"Semua saksi berhubung kematian Muhammad Adib telah disenaraikan dan saya difahamkan keluarga allahyarham turut melantik lima peguam bagi kes itu, selain peguam pemerhati dari KPKT sendiri.

"Inkues akan mewakili perwakilan yang lebih besar dan semua pihak akan disiasat (bagi mendapatkan kebenaran) dan mahkamah koroner akan membuat keputusan (terhadap kes berkenaan)," katanya.

Ditanya prosedur operasi standard (SOP) mengenai pengendalian trak makanan, Zuraida berkata KPKT telah membuat penyeragaman dasar untuk semua aktiviti berkaitan perniagaan itu di seluruh negara.

"Ia akan dilaksanakan di seluruh negara dan telah ada garis panduan yang ditetapkan kepada semua pengusaha trak makanan. Kita boleh kenakan denda jika mereka tidak mengikut peraturan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS