Kerajaan negeri Kelantan menunaikan janji yang dikemukakan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan mewujudkan kemudahan Wi-Fi percuma yang dilancarkan, hari ini.

Menteri besarnya, Ahmad Yakob berkata, pihaknya bersyukur kerana dapat menyediakan kemudahan teknologi itu khususnya di sekitar bandar Kota Bharu.

"Ini antaranya untuk merealisasikan janji kita dalam manifesto PRU14 lalu dan akan diperluaskan dari semasa ke semasa. Ia melibatkan kos lebih RM222,000 dan kos penyelenggaraan tahunan RM110,000.

"Dengan ini kita dapat meningkatkan mutu jalur lebar dan semoga saluran maklumat ini digunakan sepenuhnya untuk kebaikan.

"Kita berharap semua pihak mengambil peranan untuk menasihati agar perkhidmatan ini digunakan dengan betul. Kalau tidak kita akan menerima keburukan di sebaliknya seperti tular perkara fitnah, timbulkan keraguan dan ketegangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Kelantan Free Wi-Fi di Kota Bharu, hari ini.

Turut berlangsung majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoIC) antara Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Telekom Malaysia Berhad.

Perkhidmatan Wi-Fi percuma itu setakat ini disediakan di 10 kawasan sekitar Kota Bharu antaranya di Medan Ilmu, Pasar Siti Khadijah, Bazar Buluh Kubu, Bulatan Jam Besar dan Dataran Cheng Ho.

Hanya iman dan takwa jadi penjaga

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya Ahmad berkata, Wi-Fi yang diesediakan itu juga tidak mempunyai sebarang sekatan atau tapisan akses.

Sebaliknya kata beliau, hanya iman dan takwa sahaja akan menjadi penjaga setiap pengguna maya.

"Teknologi yang sedang kita bina hari ini membolehkan ribuan manusia mengakses ke saluran maya dalam satu-satu waktu. Di sana tiada lembaga tapisan yang mampu menapis semua sesawang yang akan dimasuki netizen.

"Justeru dalam menjaga keberkatan sesebuah masyarakat semua pihak perlu konsisten dalam menyedarkan netizen akan bahayanya penyalahgunaan teknologi," katanya.

Dalam perkembangan sama Ahmad berkata, pihaknya melalui Jawatankuasa Teknologi Hijau menubuhkan satu Jawatankuasa Pemandu Pelan Induk Pembangunan Mampan melibatkatkan aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar.

"Melalui jawatankuasa ini telah merancang kewujudan Green City dan Smart City di empat bandar iaitu Kota BHaru, Tunjong, Tok Bali dan Lojing," tambahnya.