Ugut tampar pemimpin tindakan keji - Shahidan
Mana-mana pihak yang mengugut untuk menampar pemimpin merupakan tindakan yang keji, kata Anggota Parlimen Arau Shahidan Kassim.
Perkara itu timbul selepas tukang masak selebriti yang juga pengacara Go Shop, Chef Wan terlepas cakap berhubung kenyataannya yang mahu menampar muka bekas perdana menteri Najib Razak.
“Asalkan bukan masakan Chef Wan maka kita makan yang halal. Ugut tampar mana-mana pemimpin adalah keji,” tulis Shahidan di Facebooknya, hari ini.
Chef Wan hari ini mengaku terlepas cakap berhubung tersebut serta memohon maaf secara terbuka kepada Najib dan menjelaskan beliau berkata demikian kerana emosi.
Semalam, ketika hadir berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) di Felda Sungai Koyan 1 di Jelai, Cameron Highlands, media melaporkan Chef terkenal itu menyatakan rasa kecewanya kepada BN, khususnya kepada Najib yang merupakan bekas pengerusi gabungan itu.
"Macam mana kamu (Najib) boleh biarkan Felda disalah urus begitu? Come on!
"Kamu letak Isa Samad (bekas pengerusi Felda) di situ dengan tahu ada bermacam hal dia buat sebelumnya.
"Kalau dia (Isa) ada di sini I tampar muka dia," katanya.
Tidak puas dengan kenyataan itu Chef Wan juga menyatakan dia mahu menampar Najib.
“I tampar muka Najib tu, kurang ajar!" katanya.
Orang Felda nak boikot Go SHop
Sementara itu, mengikut tinjauan Malaysiakini, Facebook Go Shop telah diserang warga maya yang rata-rata tidak berpuas hati dengan kenyataan Chef Wan terhadap Najib.
"Hoi Go Shop, jangan sampai kami orang Felda dan kampung buat tamparan hebat dengan tidak membeli barang Go Shop faham," kata seorang netizen Zaki Krik.
Sementara itu, netizen Affendi Haluan Kanan berkata, "ada duta pun mulut celupar dan kurang ajar, itu bukan adab Melayu dan Malaysia. Sepatutnya Go Shop di #boikot."
Beberapa pengguna media sosial turut meninggalkan kecaman di laman Facebook Dapur Chef Wan sehingga ruangan ulasan hanya mencatat penilaian 1.3 daripada 5.

