Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

PRK CAMERON | Bekas menteri dan pemimpin Umno, Mustapa Mohamed membuat penampilan mengejut pada majlis ceramah kelompok di sebuah petempatan Melayu di Kampung Kuala Medan, Jelai.

Mustapa yang kini merupakan anggota Bersatu menjadi penceramah pertama.

"Malaysia perlukan kepimpinan yang kuat, Malaysia memerlukan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad," kata Mustapa memberitahu kira-kira 50 hadirin.

Terdahulu, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya menyoal penganjur ceramah kelompok berkenaan mengenai permit majlis tersebut.

Ceramah kelompok itu di adakan di halaman rumah pemimpin Bersatu tempatan. Pertikaian itu selesai apabila pihak penganjur bersetuju memperlahankan pembesar suara. 

Anggota parlimen Jeli berkata ini kali pertama beliau berkempen untuk Pakatan Harapan.

Wakil tunggal PH di DUN

Mustapa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Lanas menjadi wakil tunggal PH di DUN Kelantan. Bekas anggota majlis tertinggi Umno itu menyertai Bersatu pada hujung Oktober tahun lalu.

Sebelum itu, pada 18 September 2018, Mustapa mengumumkan keluar Umno selepas lebih 40 tahun berjuang dalam parti itu, antaranya kerana percaya hala tuju parti itu tidak lagi selari dengan prinsip politiknya dan "tidak banyak usaha dibuat untuk melakukan proses rejuvenasi" secara dalaman.

Beliau berkata mengambil keputusan itu setelah membuat beberapa pemerhatian terhadap lanskap politik negara, hala tuju Umno dan BN serta masa depan negara.

"Berdasarkan kepada beberapa perkembangan mutakhir ini, saya berpandangan usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.

"Tidak ada tanda-tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini," katanya yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Pa itu.

 

 

Lihat Komen
ADS