Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Korban letupan saluran paip minyak Mexico meningkat kepada 93 orang
Diterbitkan:  Jan 23, 2019 9:32 AM
Dikemaskini: 1:32 AM

GLOBAL Jumlah mangsa yang terkorban dalam letupan saluran paip minyak di negeri Hidalgo, Mexico Jumaat lepas telah meningkat kepada 93 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Menteri Kesihatan Jorge Alcocer pada Selasa.

Angka itu meningkat susulan luka terbakar teruk yang dialami mangsa, kata Alcocer dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador.

Sejumlah 46 orang lagi masih dirawat di hospital termasuk seorang mangsa yang "berada dalam keadaan kritikal dengan prognosis buruk," kata menteri itu.

Pada Isnin, seorang lagi pesakit telah dipindahkan ke sebuah hospital pakar luka terbakar di Galveston, Texas di Amerika Syarikat, kata Alcocer.

Insiden letupan itu dan kebakaran susulan berlaku lokasi yang menempatkan saluran paip terbabit di komuniti San Primitivo dalam perbandaran Tlahuelilpan kira-kira pukul 7 malam waktu tempatan (0100 GMT) pada Jumaat.

Menurut kerajaan tempatan, antara 600 dan 800 orang berkumpul di lokasi itu untuk menadah minyak yang bocor dengan bekas apabila letupan berlaku.

Lopez Obrador berkata Peguam Negara (FGR) akan mengendalikan siasatan untuk mencari pihak yang bertanggungjawab dan menahan mereka.

Nahas itu adalah antara tragedi terburuk yang disebabkan oleh letupan saluran paip di Mexico sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Disember 2010, sejumlah 30 orang terbunuh manakala 52 lagi cedera dalam satu siri letupan di dua saluran paip minyak di Puebla.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS