Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Lawatan Altantuya Shaariibuu ke Malaysia adalah untuk mendapatkan wang daripada kekasihnya, Abdul Razak Baginda bagi kerja yang tidak dibayar, dakwa sepupu wanita itu, Burmaa Oyunchimeg.

"Dia kata dia akan kutip wang dari Razak Baginda untuk kerja yang telah dilakukan.

"Dia beritahu saya dia telah menyediakan beberapa perkhidmatan penterjemahan dalam perjanjian perniagaan di Eropah untuk Razak Baginda dan ia dalam persetujuan bahawa dia akan dibayar untuk perkhidmatannya.

"Dia (Altantuya) kata dia (Razak) enggan membayar, jadi dia akan datang untuk mengutip bayaran," kata Burmaa di Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini.

Burmaa memberi keterangan sebagai saksi dalam kes saman RM100 juta yang difailkan oleh keluarga Altantuya berhubung kematian wanita itu pada 2006.

Mahkamah pada perbicaraan tahun 2007 diberitahu bahawa Altantuya telah meminta sebanyak AS$ 500,000 dari Razak Baginda ketika membuat kecoh di luar kediaman pakar pertahanan itu.

Kejadian itu berlaku dua hari sebelum Altantuya itu dibunuh.

Razak Baginda turut mengakui mempunyai hubungan sulit dengan wanita berkenaan yang bermula pada tahun 2004.

Ketika memberi keterangan hari ini, Burmaa berkata beliau mula mengetahui hubungan itu pada akhir 2004 apabila Altantuya dan Razak Baginda datang ke Hong Kong, tempat di mana dia tinggal pada masa itu.

Razak berada di sana atas urusan perniagaan, katanya.

Dia kemudian bertemu pasangan itu sebanyak dua kali secara berasingan di Shanghai dan Singapura pada awal tahun 2005.

"Ini (perjalanan ke Singapura pada Mac) adalah selepas perjalanan ke Eropah. Mereka berdua beritahu saya bahawa mereka lalui perjalanan yang menyeronokkan di Paris.

"Sekali lagi dia (Razak Baginda) membayar segala-galanya, penerbangan saya (ke Singapura), penginapan, makan dan membeli-belah," kata Burmaa.

'Dia benar-benar ambil berat'

Wanita berusia 31 tahun itu berkata, Razak Baginda juga mengambil berat terhadap Altantuya.

Beliau menjelaskan perkara itu apabila menceritakan bagaimana Razak Baginda menghubunginya untuk memberitahu yang dia telah memindahkan wang kepada Altantuya.

"Ini berlaku agak beberapa kali, dia beritahu saya dia benar-benar mengambil berat tentangnya dan dia tahu tentang anaknya yang cacat dan benar-benar mahu membantu dia secara kewangan," katanya.

Bagaimanapun hubungan itu menjadi buruk pada tahun 2006 dan Burmaa mendakwa menerima pesanan teks dari Razak Baginda mengatakan dia tidak mahu melihat Altantuya lagi.

Dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didapati bersalah atas pembunuhan Altantuya oleh Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 dan dijatuhi hukuman mati.

Razak Baginda, yang dituduh bersubahat dengan dua bekas pegawai polis berkenaan dalam pembunuhan itu bagaimanapun dibebaskan oleh mahkamah.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS