PRK CAMERON l Bekas perdana menteri, Najib Razak membidas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin yang hari ini mengumumkan pembatalan projek Empangan Telom di Cameron Highlands.

Katanya, apa yang memeranjatkan adalah pengakuan menteri dari DAP itu bahawa keputusan pembatalan yang didakwa dibuat pada Oktober tahun lalu tanpa mengetahui bahawa lokasi Empangan Telom adalah di Cameron Highlands.

“Menteri boleh batalkan projek untuk rakyat tanpa tahu lokasi di mana?

“Ini batalkan projek sambil potong bawang ka?

“Dan lebih ‘menyakinkan’ lagi bahawa menteri ini bukan menipu ialah beliau bisu mengenai pembatalan projek ini selama tiga bulan sebelum mengumumkan keputusan ini semasa di acara pengundi semasa kempen PRK,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebook.

Yeo semasa kempen Pakatan Harapan (PH) di Pos Lanai hari ini, berkata “dalam mesyuarat (3) Oktober ) itu kita sudah putuskan Empangan Telom tidak dimasukkan dalam perancangan. Maksudnya kerajaan tidak akan membina empangan ini.”

“Ini bukan kerana PRK sudah sampai, saya pun tidak tahu empangan ini di Cameron Highlands,” katanya yang disambut tepukan gemuruh daripada kira 200 hadirin di perkampungan Orang Asli itu.

Menngulas lanjut, Najib berkata, sudah tentu berita ini disambut baik oleh sebilangan pengundi-pengundi di sana yang membantah projek pembangunan ini yang menjanakan elektrik murah dan mengawal banjir.

Menteri juga, katanya dipetik bahawa kementeriannya membuat keputusan itu pada Oktober tahun lalu.

“Kebetulan teramat sangat.

“Ada juga rakyat yang akan percaya DAP,” kata Najib sinis.

Pos Lanai yang sejak sekian lama menjadi kubu BN dikatakan akan paling terjejas sekiranya empangan itu dibina.

Mengikut perancangan, empangan itu bakal menghasilkan menghasilkan 132 megawat (MW) elektrik tetapi dibimbangi akan memusnahkan hutan seluas 7,600 hektar serta ekosistemnya yang menjadi sumber pendapatan masyarakat Orang Asli sejak sekian lama.