Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
TPM dakwa tak dibenarkan solat di PDK Kg Keledek
Diterbitkan:  Jan 23, 2019 6:30 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa dirinya, hari ini dihalang daripada menunaikan solat di sebuah pusat dalam komuniti (PDK) di Kampung Keledek di Jelai semasa berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

“Saya hendak beritahu, saya tidak dibenarkan solat di pusat dalam komuniti.

"Mereka kunci pintu, jadi saya solat di rumah sebelah. Saya tak pasti kenapa dan saya tak tanya kenapa (tidak dibenarkan solat).

"Kerana sudah masuk waktu (solat) dan saya diberikan alternatif, jadi saya terus menunaikan solat," katanya yang dipetik oleh portal Astro Awani.

Presiden Pakatan Harapan itu sebelum itu hadir pada program dialog bersama penduduk Kampung Keledek di Jelai.

Jentera PH sejak minggu ini ditumpukan di DUN yang dikuasai oleh Barisan Nasional, iaitu yang kini dipegang oleh Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail. Satu lagi kerusi DUN di Cameron Highlands adalah Tanah Rata yang sememangnya adalah kubu DAP.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, tiada alasan diberi oleh mereka yang menghalang beliau dan pintu PDK itu terus dikunci.

Ditanya pemberita sama ada PH berpeluang cerah untuk merampas kerusi Cameron Highlands daripada BN, timbalan perdana menteri itu mengakui sukar bagi beliau meramalkannya.

"Susah untuk kita katakan sekarang,” katanya.

PH meletakkan calon dari DAP bertanding di kerusi ini iaitu M Manogaran dengan pertembungan empat penjuru antara calon BN dan dua dari Bebas.

 

Kerusi Cameron Highlands disytiharkan kosong susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur yang membatalkan keputusan 9 Mei tahun lalu atas alasan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan kepada BN.

Pada pilihan raya umum ke-14 itu, naib presiden MIC C Sivarraajh mengalahkan Manogaran.

Sivarraajh memperolehi 10, 307 undi manakala Manogaran pula 9,710. Calon PAS Wan Mahadir Wan Mahmud mendapat 3,587 dan calon PSM dan Berjasa hilang wang pertaruhan mereka.

Lihat Komen
ADS