Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kabinet tak bincang dakwaan CCCC disingkir dari ECRL'

Menteri kabinet tidak tahu-menahu berhubung dakwaan penyingkiran syarikat China Communications and Construction Company (CCCC) sebagai kontraktor untuk projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Tiga menteri memberitahu Malaysiakini berkata perkara itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet minggu lalu.

"Ini tidak pernah dibangkitkan (di peringkat kabinet)," kata seorang menteri, sambil menambah mesyuarat kabinet seterusnya akan diadakan esok.

Seorang lagi menteri berkata: "Setakat pengetahuan saya, tidak."

"Kabinet tidak membincangkan perkara itu dan tiada keputusan dibuat berkenaan pembatalan kontrak CCCC," kata menteri ketiga yang dihubungi.

Kementerian Kewangan mengetuai rundingan dengan China berhubung projek ECRL. Menterinya Lim Guan Eng tidak memberi maklum balas terhadap permintaan Malaysiakini untuk mengulas perkara itu.

Pada Jumaat lalu, The Edge Markets yang memetik sumber berkata kerajaan telah membatalkan kontrak kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan yang diberikan kepada CCCC untuk projek bernilai RM81 bilion itu.

Semalam, akhbar Singapura The Straits Times yang juga memetik sumber berkata kerajaan dalam proses mencari kontraktor baru untuk projek itu.

Khabar itu mengejutkan kerana kerajaan sebelum ini berkata ia tidak boleh berbuat apa-apa berhubung projek itu kerana perlu membayar pampasan yang mahal kepada CCCC jika ia dibatalkan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membayangkan beliau lebih cenderung untuk membatalkannya, tetapi sanggup menunda atau mengecilkan skalanya jika ia bermakna kerajaan tidak perlu membayar pampasan yang mahal.

Tidak jelas sama ada dakwaan itu adalah satu taktik rundingan, atau sama ada kerajaan mencapai persetujuan baru dengan China.

Menurut The Straits Times, kerajaan mahu kos maksimum ECRL tidak melebihi RM40 bilion dan penggunaan lebih banyak bahan tempatan, tetapi tidak dipersetujui CCCC.

Perkara ini dijangka lebih jelas selepas mesyuarat kabinet esok.

Terdahulu, Kementerian Kewangan mengumumkan pembatalan MMC-Gamuda selaku kontraktor bagi sebahagian projek MRT2, dalam usahanya untuk menggesa konsortium itu menurunkan kos.

Dua minggu selepas itu, Kementerian Kewangan berkata kabinet menerima tawaran baru daripada MMC-Gamuda, dengan pengurangan kos sebanyak 21.5 peratus, iaitu kepada RM13.11 bilion.

Projek ECRL dirundung kontroversi, antaranya dengan dakwaan kerajaan BN sengaja meninggikan kosnya untuk mengalihkan dana bagi menutup dakwaan penyelewengan di 1MDB.

Lihat Komen
ADS