Seorang bekas pelajar kolej swasta warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan gagal menyediakan persekitaran yang sesuai untuk seekor anjing milikinya.

Judith Ejigini, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Noradura Hamzah.

Wanita itu, selaku orang kena saman (OKS), didakwa gagal memastikan haiwan kepunyaannya itu berada dalam persekitaran yang sesuai di sebuah unit di Zeta Deskye @ Alam Saujana Condominium, Jalan 1/12D, Off Batu 4 1/2 Jalan Ipoh pada jam 6.42 petang , 22 Feb 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 24(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(3) akta sama yang membawa hukuman denda minimum RM15,000 dan maksimum RM75,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hasiah Musa tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kes itu telah empat kali disebut di mahkamah setelah tiga kali wanita itu tidak hadir ke mahkamah.

“OKS juga telah membeli tiket penerbangan untuk pulang ke Nigeria pada esok malam dan OKS juga ke mahkamah hari ini disebabkan waran tangkap telah dikeluarkan.

“Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin dan dokumen perjalanan diserahkan ke mahkamah selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran,” katanya.

Bagaimanapun, Judith yang diwakili peguam Muhammad Afif Che Had memohon jaminan dibenarkan kerana anak guamnya tidak mengetahui kes itu.

“Isu anak guam saya telah membeli tiket penerbangan tidak timbul kerana mahkamah boleh merampas pasport bagi menghalang anak guam saya untuk ke luar negara.

“Anak guam saya tidak tahu mengenai kes ini dan tiket penerbangan itu dibeli bukan untuk melarikan diri,” katanya.

Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu dan pasport diserahkan kepada mahkamah dan 13 Feb ditetapkan untuk sebutan semula kes.

-- Bernama