Jalan pintasan dicadang dibina bagi kurangkan kesesakan di Cameron Highlands
Para pengunjung ke pusat peranginan ini tidak perlu lagi melalui pekan-pekan utama apabila sebatang jalan pintasan baharu bertingkat siap dibina nanti.
Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) Datuk Zainal Md Amin berkata jalan pintasan itu yang akan dibina bertingkat atau bertiang, adalah sepanjang 23km bermula dari kawasan Habu, kira-kira 9km dari Tanah Rata hingga ke Blue Valley, yang bersempadan dengan Lojing di Kelantan.
Katanya pembinaannya bertujuan memberi laluan alternatif kepada pengguna selain dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands.
“Jalan pintasan ini akan mempunyai persimpangan tertentu ke pekan utama di Cameron Highlands iaitu Tanah Rata, Brinchang, Kea Farm, Kuala Terla dan Kampung Raja.
“Cadangan pembinaan dibuat melalui perbincangan Mesyuarat Tindakan Daerah, jadi JKR (Jabatan Kerja Raya) bertanggungjawab membuat permohonan pembinaan jalan pintasan itu,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
JKR telah mengemukakan permohonan peruntukan pembinaan jalan pintasan yang memerlukan kos RM800 juta itu kepada Kerajaan Persekutuan pada 2017, namun sehingga kini masih belum mendapat jawapan.
Dalam pada itu, katanya, selain tidak melibatkan kerosakan tanah yang besar, jalan pintasan yang akan melalui kawasan pergunungan dan jurang yang tinggi itu juga dapat mengekang aktiviti pencerobohan tanah.
“Sekiranya dibuat jalan atas permukaan tanah, kawasan sekitarnya berisiko untuk diceroboh kerana penceroboh dapat mengakses tanah dengan mudah berbanding dibuat dalam bentuk bertiang atau seperti jambatan kerana mereka langsung tidak ada akses untuk ke tanah-tanah dan hutan simpan,” katanya.
-- Bernama

