Golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di Perak diminta mendaftar dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi memudahkan kerajaan negeri merancang pembinaan rumah mampu milik khusus untuk golongan berkenaan di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sejak Januari 2014 sehingga Nov tahun lepas, hanya 10,000 pemohon yang berdaftar dengan LPHP dan ia tidak selari dengan bilangan jumlah lebih 80 peratus isi rumah di negeri ini yang berpendapatan bulanan kurang dari RM2,000 sebulan.

"Saya menggesa kumpulan B40 untuk mendaftarkan nama mereka kepada LPHP bagi memudahkan mereka memiliki rumah pertama kerana ini sangat penting kepada kerajaan (negeri) supaya kita boleh merancang projek mengikut senarai orang tempatan) .

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Projek Perumahan Mampu Milik Casa Kayangan @ Meru yang turut dihadiri Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Mohd Ariff Yeop Ishak di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, golongan tersebut boleh melakukan pendaftaran dengan LPHP secara dalam talian atau ke pejabat penghulu serta pusat khidmat wakil rakyat Pakatan Harapan yang berhampiran bagi melakukan proses berkenaan.

Terdahulu, Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata kerajaan negeri menyasarkan pembinaan 50,000 unit rumah mampu milik merangkumi rumah kos rendah dan sederhana di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun.

"Di atas komitmen ini, kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa lokasi untuk membina lebih 30,000 rumah kos rendah bermula dari RM40,000 dan juga rumah kos sederhana pada harga RM70,000 dan ke atas.

"Sebahagian daripada 30,000 unit sedang dalam pembinaan manakala bakinya akan dimulakan dalam masa terdekat. Kerajaan negeri sedaya mungkin mahu memberi ekuiti dan mengembalikan semula nikmat pembangunan yang dikecapi selama ini kepada rakyat menerusi pemilikan hartanah," katanya.

Sementara itu, Mohd Ariff dalam ucapannya berkata pangsapuri Casa Kayangan yang dibangunkan oleh PKNP setinggi 25 tingkat itu mempunyai 384 unit dan siap sepenuhnya pada November lepas serta dijual pada harga bermula RM250,000 hingga RM309,000 mengikut tingkat dan keluasan.

"Harga bagi pangsapuri seumpama ini sangatlah berbaloi dengan kemudahan yang disediakan seperti kolam renang dengan reka bentuk yang moden dan kontemporari serta kemudahan gimnasium yang hampir setanding dengan pangsapuri mewah di sekitar bandar raya Ipoh," katanya.

-- Bernama