Seorang aktivis persatuan pengguna menyifatkan salah menteri Malaysia bercakap tanpa menggunakan akal apabila meminta rakyat mengasihani kerajaan untuk menyokong keputusan menaikkan tarif air.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Maamor Osman, berkata tugas sesebuah kerajaan adalah mencari jalan terbaik bagi menangani isu pengurusan air, bukannya meletakkan beban pada bahu rakyat.

"Air, elektrik dan pendidikan merupakan keperluan asas yang sepatutnya dapat nikmati rakyat dengan selesa, bukannya dalam keadaan membebankan.

"Tiada guna rakyat mengundi PH yang kononnya pakar dalam segala aspek, namun gagal mencari jalan menangani isu ini," katanya.

Menurut Maamor, air adalah komoditi yang turut digunakan dalam banyak industri dan kenaikan tarifnya hanya akan menambah kos yang kemudian dipindahkan kepada rakyat.

"Menteri bercakap umpama kerajaan yang tiada otak, dia sepatutnya gunakan otak untuk bercakap dengan fakta.

"Hanya orang yang tiada otak saja bercakap begitu," katanya kepada Malaysiakini.

Banyak cara lain ada

Semalam media melaporkan Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, berkata bahawa rakyat perlu melihat keputusan menaikkan tarif air sebagai satu tanggungjawab dan mereka wajar menunjukkan rasa belas kasihan kepada kerajaan.

Menurut Jayakumar, hal itu kerana kos utiliti air yang ditanggung kini sangat tinggi dan menggunakan peruntukan kerajaan.

Beliau juga menegaskan tarif air di Malaysia masih merupakan antara yang paling rendah di rantau Asia Tenggara.

Kenyataan Jayakumar mendapat perhatian bekas menteri besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, yang mengecam tindakan menteri itu.

Tegas Abdul Khalid, tindakan kerajaan jelas memalukan PH yang dilihat sering kali melaungkan slogan peduli rakyat.

"Memang benar, anggota politik hendaklah pandai bercakap dan mengkritik, tetapi kebolehan itu sahaja tidak cukup untuk mengurus sumber ekonomi dengan bijak," kata Abdul Khalid di Facebook lewat petang semalam.

Menurut Maamor perkara yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan ialah mengatasi masalah air tanpa hasil (non-revenue water) seperti kebocoran, kecurian dan sebagainya.

Kata Maamor, jika isu itu dapat diatasi secara berkesan oleh kerajaan, pasti ia dapat mengurangkan kos yang ditanggung.

"Selain itu tidak dinafikan juga kempen penjimatan air adalah cara untuk mendidik rakyat berjimat," katanya.

Jelas beliau lagi, banyak langkah yang boleh diambil kerajaan bagi menangani isu berkenaan tanpa perlu membebankan rakyat.