Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
LANGSUNG: Pengundian berakhir, kiraan bermula
Diterbitkan:  Jan 26, 2019 8:53 AM
Dikemaskini: 9:57 AM

PRK CAMERON  | Hari pengundian untuk pilihan raya kecil Cameron Highlands - yang dijangka menjadi pertandingan paling sengit sejak pilihan raya Teluk Intan pada 2014 - akhirnya tiba.

Pusat pengundian di seluruh kawasan itu akan dibuka pada pukul 8 pagi dan akan ditutup pada waktu yang berbeza sepanjang hari disebabkan oleh isu logistik, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Masa penutupan terakhir untuk pusat mengundi ialah pada jam 5.30 petang, selepas itu Malaysiakini akan menampilkan liputan langsung keputusannnya.

Ikuti Malaysiakini kerana kami akan membawa kepada anda secara langsung laporan hari pengundian.

Pusat mengundi ditutup

5.30pm: Proses pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands berakhir. 

Ikuti liputan langsung pengiraan undi di sini  bagi mengetahui calon yang bakal memenangi PRK berkenaan.

Jumlah keluar mengundi 68 peratus setakat 4 petang

4.45pm:  SPR mengumumkan jumlah keluar mengundi setakat 4 petang adalah sebanyak 68 peratus.  Pada pilihan raya umum lepas, jumlah keluar mengundi di Cameron Highlands adalah sebanyak 79.03 peratus.

Menurut maklumat daripada BN, calon mereka Ramli Mohd Nor kini mendahulu tiga calon lain berdasarkan kiraan undi.

Jumlah keluar mengundi 66 peratus setakat 3 petang

3.30pm: SPR mengumumkan sebanyak 33 peratus telah keluar mengundi setakat jam 3 petang. Sesetengah pusat mengundi telah ditutup lebih awal. 

Peti undi pertama tiba

2.50pm: SMK Sultan Ahmad Shah - Peti undi pertama tiba di pusat penjumlahan undi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Peti undi berkenaan adalah dari SK Lemoi dari daerah mengundi Pos Lemoi, yang ditutup pada jam 1 petang. 

Pusat pengundian terakhir dijangka ditutup pada jam 5.30 petang, selepas itu pengiraan rasmi akan bermula.

63 peratus mengundi setakat 2 petang

2.40 pm: Sebanyak 63 peratus daripada 31,639 pengundi telah keluar mengundi setakat pukul 2 petang bagi PRK Cameron Highlands, kata Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun. Sementara itu sesetengah pusat pemgundian telah ditutup.

Berikutan kritikan daripada pembangkang Azhar semalam berkata amalan itu dilakukan dalam pilihan raya sebelum ini atas sebab logistik dan keselamatan.

Beliau juga secara sukarela akan meletak jawatan sekiranya rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan prestasi atau tindakan SPR di bawah pengawasannya.

Saya tergesa-gesa - Manogaran minta maaf

1.30pm: SK Betau - M Manoragan mengakui kesilapan beliau kerana memakai baju dengan logo Pakatan Harapan (PH).

"Ia adalah kesilapan peribadi saya. Saya bergegas pada awal pagi. Saya segera tinggalkan pusat mengundi apabila pegawai (SPR) beritahu saya,"tambahnya.

Manogaran, yang diiringi keluar dari pusat pengundian oleh pegawai SPR juga menafikan dakwaan pemangku timbalan presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob bahawa PH tidak lagi mempedulikan undang-undang.

"Tidak. Kami ikut undang-undang. Ini adalah kesilapan saya. Saya minta maaf,"katanya.

12.30pm : SK Kampung Keledek- Pemuda DAP Kebangsaan (Dapsy) membuat laporan polis terhadap perbuatan pihak tertentu menyebarkan fitnah melalui sepanduk berbaur perkauman yang kononnya dari Pakatan Harapan.

Pada sepanduk yang menampilkan gambar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan calon PH M Manogaran itu tertulis:

"Saya yakin tanpa undi orang Melayu dan Orang Asal pun, Pakatan boleh menang di Cameron Highlands."

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAPSY Lee Wei Seang ketika ditemui di hadapan SK Kampung Keledek, berkata sepanduk yang dinaikkan sejak awal pagi itu telah diturunkan oleh jentera PH serta-merta.

Katanya, beliau telah membuat laporan polis di balai polis Sungai Koyan pada jam 10 pagi.

Jumlah keluar mengundi 55 peratus pada tengah hari

12.40pm: SPR mengumumkan jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 55 peratus pada tengah hari. Di Pos Mesun seahaja, sebanyak 89 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka. Jumlah keluar mengundi ini adalah paling tinggi berbanding PRU ke-14 lalu.

Manogaran pakai baju berlogo PH

12.15pm: SK Senderut, Jelai - Pegawai SPR mengiringi M Manogaran keluar dari pusat pengundian kerana memakai baju dengan logo Pakatan Harapan, yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya.

Di SK Betau di Jelai, calon BN Ramli Mohd Nor berkata beliau menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai tindakan calon DAP itu.

"Pada dasarnya, bagi saya ia adalah mudah, dia sangat berpengalaman. Berapa banyak pilihan raya yang dia lalui?

"Bagi saya, yang pertama, jadi biarkan orang ramai mengadili," tambahnya.

Pemangku timbalan presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, yang mengiringi Ramli melawat beberapa pusat mengundi, mendakwa tindakan Manogaran menunjukkan PH tidak lagi peduli untuk mengikut peraturan setelah mengambil alih kerajaan persekutuan pada PRU lalu.

Ismail berkata beliau berharap badan pemantau pilihan raya, Bersih akan mengambil tindakan terhadap PH seperti yang dilakukannya kepada BN pada masa lalu.

Jumlah keluar mengundi 47 peratus setakat 11 pagi.

12.00pm: SPR mengumumkan jumlah keluar mengundi setakat jam 11 pagi adalah sebanyak 47 peratus.

Ramli: Saya tak mahu masuk perangkap

11.40am: SK Mensun - Calon BN Ramli Mohd Noor menafikan beliau tidak mesra kepada media. Sebaliknya Ramli mengatakan sebagai bekas pegawai kanan polis, beliau sering berurusan dengan pihak media pada masa lalu.

"Saya biasa dengan anda. Tetapi saya tidak mahu jatuh dalam perangkap Pakatan Harapan. Semakin banyak anda bercakap, semakin banyak omong kosong," tambahnya.

Ditanya apakah beliau yakin akan menang PRK berkenaan, Ramli menjawab: "Insha Allah."

BN, PH dirikan khemah di luar pusat pengundian Betau

11.20am: SK Betau, Jelai Penyokong BN dan Pakatan Harapan (PH) mendirikan khemah di luar pusat pengundian, walaupun 500 meter lebih jauh daripada yang ditetapkan dari pintu masuk.

Penyokong BN menjerit "kencing" manakala penyokong PH pula melaungkan "Pakatan Harapan".

SPR: 33 peratus keluar mengundi setakat 10 pagi

10.45am: Brinchang Pengerusi SPR, Azizan Azhar Harun berkata jumlah keluar mengundi setakat jam 10 pagi dianggar sebanyak 33 peratus.

15 peratus telah keluar mengundi

10.30am: Tanah Rata - Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun menganggarkan 15 peratus daripada 31,639 pengundi yang layak telah keluar mengundi sehingga 9 pagi.

Setakat ini, cuaca kelihatan baik dan dijangka kekal.

Antara pengundi ialah presiden MyPPP M Kayveas.

10am - Sebanyak 15 peratus daripada 31,639 pengundi telah keluar mengundi setakat pukul 9 pagi bagi PRK Cameron Highlands - Pengerusi SPR

Bendera DAP muncul di kubu kuat PAS

9.20 am - Kampung Sungai Keledek: Jentera PH mencabut dan membawa turun bendera DAP yang tergantung di sekitar Sekolah Kebangsaan Sungai Keledek.

Selain bendera DAP, mereka juga mendapati bsnting yang menampilkan gambar calon PH M Manogaran dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sedangkan gambar yang sepatutnya merupakan Manogaran bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut jentera PH itu bendera dan bunting tersebut, pihak PH tidak mengetahui mengenai perkara tersebut dan ia dipercayai diletakkan pada lewat malam semalam.

Penyokong dari Barisan Nasional dilihat bersorak ketika jentera PH mencabut bendera dan bunting DAP itu. 

Sungai Keledek adalah kubu kuat PAS. Parti itu memenangi 60 peratus di daerah pengundian ini semasa pilihan raya umum ke-14.

MP bantah 'pondok panas'

9.15am: Pos Mensun - Ahli Parlimen Klang Charles Santiago membantah sebuah pondok panas berhampiran pusat pngundian.

Selepas mengadu kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis, orang yang menjaga pondok itu beredar jauh dari situ.

"Mereka memberi tekanan kepada pengundi .. Ini akan menjadi pilihan raya yang sengit. Setiap undi penting," kata Santiago kepada Malaysiakini.

Pondok panas menjadi tempat tidak rasmi untuk pengundi menyemak sama ada  mereka berada di pusat pengundian yang betul.

Bagaimanapun, pondok itu biasanya menjadi tempat kempen pada saat-saat akhir.

Setakat 9 pagi, kira-kira 20 peratus daripada 557 pengundi di Daerah Menswear telah hadir di pusat pengundian.

9.00am Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada kira-kira pukul 8.50 pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gahai hari ini.

Wan Rosdy yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai tiba pukul 8.40 pagi, mengundi bersama isterinya Datin Seri Burhah Mohammed di saluran satu.

'Proses pengundian lebih cepat daripada PRU14'

8.55am: Tanah Rata - Rash Pal Kaur (gambar), guru berusia 55 tahun yang telah mengundi enam kali di Cameron Highlands, berkata dia hanya menunggu 20 minit di SMK Sultan Ahmad Shah untuk mengundi.

"Ia (prosesnya) sangat lancar. Lebih cepat daripada semasa pilihan raya umum ke-14.

"Saya tidak perlu menunggu lama. Dalam masa 20 minit, telah selesai, "katanya kepada pemberita di pusat pengundian.

8.00am: Bertam Valley - Calon bebas Wong Seng Yee tiba di pusat pengundian SJK (C) Bertam Valley, di mana beliau akan mengundi.

Wong berkata beliau akan mengelak daripada berjabat tangan dengan pengundi dan pemberita untuk mengelak dilihat sebagai berkempen pada hari mengundi.

Kira-kira 50 orang sedang mengundi untuk menghantar undi mereka di stesen mengundi.

Lihat Komen
ADS