Kayveas minta ROS ambil tindakan terhadap rayuan pembatalan MyPPP
Tan Sri M.Kayveas meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengambil tindakan sewajarnya terhadap rayuan yang beliau kemukakan kepada jabatan itu mengenai pembatalan MyPPP.
Menurut Kayveas, beliau telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui ROS pada 15 Jan lalu, iaitu sehari selepas RoS membatalkan pendaftaran MyPPP pada 14 Jan.
"Kita telah buat rayuan kepada menteri mengikut Akta Pendaftar Pertubuhan 1966 di bawah Seksyen 18, dan kalau rayuan tidak selesai, isu ini akan dibawa ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas membuang undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Notis perintah pembatalan MyPPP dikeluarkan oleh Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] Perintah Pembatalan [Seksyen 13(1)(c)(ix)] dan keputusan membatalkan pendaftaran MyPPP dibuat berikutan rayuan dikemukakan parti itu tidak menunjukkan sebab yang cukup di sebaliknya.
Notis perintah itu diberikan kepada Kayveas, Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz, Jabatan Insolvensi Malaysia, Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
MyPPP sebelum ini berdepan krisis kepemimpinan apabila terdapat dua kem yang mendakwa menerajui parti berkenaan.
Ketika ini MyPPP terpecah kepada dua kepimpinan iaitu di bawah Presiden, Datuk Seri Maglin D'Cruz yang dipilih selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Mei lalu selain Kayveas yang mengaku bahawa beliau masih presiden yang sah.
PRK Cameron Highlands adalah PRK kelima diadakan selepas PRU14 dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept); serta Parlimen Port Dickson (13 Okt).
PRK ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Manogaran, Ramli Mohd dan dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki Sallehudin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee.
-- Bernama

