Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Rakyat tak boleh hidup hanya dengan kata-kata manis'
Diterbitkan:  Jan 27, 2019 1:23 PM
Dikemaskini: 5:23 AM

PRK CAMERON | Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan pusat belum menunjukkan kepada rakyat negara ini mengapa mereka harus mengundi PH.

Dalam keadaan begitu, kata Nik Nazmi, PH harus menjadikan Buku Harapan sebagai panduan dan memerlukan naratif jelas untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka masih layak untuk berkhidmat sebagai kerajaan.

"PRK Cameron Highlands telah berakhir. Keputusannya bukanlah seperti apa yang diharapkan oleh PH dan penyokong kita.

"Bagaimanapun, ia adalah keputusan rakyat dan kita mesti menghormati pilihan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama Nik Nazmi yang juga anggota parlimen Setiawangsa berkata PH dan penyokong gabungan itu tidak boleh tunduk kepada tekanan, sebaliknya mendapat kekuatan baru bagi menghadapi cabaran akan datang.

Katanya penggunaan retorik perkauman oleh pihak tertentu semasa kempen PRK berkenaan amat mendukacitakan.

"Pengundi Malaysia mesti bertanya pada diri sendiri: adakah negara atau mana-mana komuniti mendapat pembelaan sewajarnya dengan tindakan keji dan tidak bermoral sedemikian?" katanya.

Sambil meminta pihak berkuasa berkaitan menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap retorik perkauman jika terbukti benar, beliau turut menegaskan PH perlu mejadi pihak yang utama perlu bertanggungjawab.

Katanya, kelemahan terbesar PH ialah tidak mampu mengungkapkan wawasan yang lebih baik untuk rakyat di Cameron Highlands dan seluruh negara.

"PH belum menunjukkan kepada rakyat Malaysia mengapa mereka harus mengundi kita untuk menikmati ekonomi yang lebih saksama dan inklusif.

"Kelompok B40 dan M40 di Malaysia tidak boleh hidup berdasarkan kata-kata manis semata-mata. Mereka memerlukan manfaat yang boleh diukur," katanya.

Ujar beliau, meskipun PH tidak boleh melaksanakan sepenuhnya dasar dalam manifesto, mesej yang harus dipaparkan ialah tumpuan kerajaan diberi kepada rakyat secara keseluruhan, bukan terhadap kelompok kecil.

Katanya PH akan gagal jika tidak dapat bercakap sebagai satu suara.

"Kita perlu mula menunjukkan prestasi kepada rakyat, terutamanya dari segi ekonomi," katanya.

Lihat Komen
ADS