Seramai 24 penagih dadah ditahan dalam Ops Pencegahan di sarang mereka menghisap dadah di Ujung Batu, Bagan Dalam, di Pulau Pinang pada Jumaat, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor.

Katanya bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, serbuan dilakukan bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam sebelum menahan kesemua lelaki berusia 20 hingga 50 tahun.

"Semasa serbuan itu, ada penagih yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis namun tindakan pantas kami mengepung kawasan berkenaan berjaya menahan 24 lelaki tersebut.

"Susulan serbuan itu, polis merampas heroin seberat 45.6 gram dan 0.3 gram syabu bernilai RM1,641 daripada 21 lelaki yang ditahan berkenaan, " katanya di sini hari ini.

Katanya ujian air kencing 24 lelaki itu positif dadah dan semua mereka direman untuk siasatan lanjut.

- Bernama