Paling Popular
Terkini

ULASAN | Banyak ilmu baru yang boleh dipelajari daripada PRK Cameron Highlands.

Pertama, jangan berlawak ketika perut rakyat kosong. Ingatlah, kelaparan boleh membunuh kesabaran, dan boleh menyebabkan rakyat bertindak tanpa belas kasihan.

Esok-esok jangan pula pelik jika rakyat yang menjadi sahabat paling akrab sesebuah parti boleh bertukar menjadi musuh paling ketat.

Contohnya telah ada dan jelas. Pada PRU ke-14 lalu, rakyat menumbangkan BN selepas 61 tahun mereka berkuasa. Dan terkini, rakyat menolak calon parti kerajaan PH dengan kekalahan memalukan.

Rakyat menjulang calon parti pembangkang untuk menjadi tempat mereka berteduh walaupun payung itu belum tentu dapat melindungi mereka daripada hujan dan panas kehidupan.

Sebenarnya, rakyat tidak mengharapkan intan atau permata meskipun kerajaan pernah berjanji memberikan bulan dan bintang. Rakyat cuma mahukan perut yang tidak lagi berkeroncong kerana kosong. Sakunya sentiasa berisi dan boleh bergelak dan ketawa.

Kerajaan yang pintar akan sentiasa ingat bahawa perut kosong dan fikiran yang murung boleh menyebabkan manusia bertindak tanpa menggunakan akal.

Contohnya begini: Mana-mana kerajaan yang berperikemanusiaan tidak tergamak menyuruh rakyatnya menoreh ketika hujan lebat tanpa mengetahui perut rakyatnya tidak berisi.

Kehendak rakyat cuma sederhana

Begitu juga, kerajaan yang bertimbang rasa tidak menyuruh secara mendadak agar rakyatnya memberi belas kasihan kepada kerajaan. Misalnya apabila mahu menaikkan tarif air atau ketika gagal memansuhkan bayaran tol. Atau ketika gagal menunaikan banyak janji yang telah diberi.

Ingatlah bahawa perut rakyat itu telah lama lapar. Ia bukan baru bermula sebulan dua dulu.

Dan jangan pula ada pemimpin menghina rakyat dengan berkata kaum ini tidak akan membeli kuih yang dibuat oleh kaum itu. Jangan ditutup telinga apabila rakyat meminta tindakan segera bagi menangani jenayah atau ketidakadilan.

Fahamilah bahawa rakyat kini sedang lapar.

Akaun untung rugi kerajaan banyak bergantung kepada suasana perut rakyat.

Rakyat sedang lapar. Rakyat tidak mahu mendengar songeh dan lelucon yang dibuat-buat. Rakyat mahu sardin murah, telur murah, ikan murah dan beras murah. Rakyat hari ini hanya mahukan peluang kerja yang lebih banyak, harga barangan keperluan yang munasabah, pendapatan mencukupi untuk mulut seisi keluarga.

Rakyat juga mahukan keadilan dalam pembahagian ‘harta rampasan perang’ selepas pilihan raya lalu diagih secara telus, adil dan diterima akal.

Apalah makna kelayakan menduduki sesuatu jawatan jika ia diberi kepada ahli keluarga terdekat pemimpin sedangkan ada berjuta rakyat lain boleh bersaing untuk menduduki jawatan itu.

Di atas itu hanyalah misal dan contoh kasar.

Ya, sebenarnya rakyat tidak mahu mendengar cerita perbalahan sesama menteri di media kerana mengikut logik akal, mereka tidak ada masalah untuk duduk dalam satu bilik yang sama dan bermesyuarat mengenainya.

Pinjaman faedah rendah

Rakyat juga tidak ingin melihat ada ucapan menteri dibaca oleh orang lain tanpa kebenaran.

Ini semua rakyat anggap cerita ketololan yang tidak mudah diampun. Hal ini yang akan terus menyebabkan perut rakyat yang lapar menjadi semakin lapar.

Rakyat mahukan semua urusan mentadbir negara dan segala cara menguruskan kebajikan mereka berjalan dengan cara paling baik. Itu sahaja.

Jika ekonominya tempang, tolong uruskan. Jika eksportnya kurang, tolong pertingkatkan. Jika nilai mata wangnya rendah, tolong fikir-fikirkan. Itu yang rakyat mahu.

Tapi kalau semua itu tidak kelihatan dapat ditangani secara bijak dan rasional di mata rakyat, bersedialah untuk menerima hukuman.

Bukankah rakyat yang meminjamkan kuasa kepada kerajaan untuk mentadbir negara? Rakyat pun tidak mengenakan faedah atau bunga yang terlalu tinggi di atas 'pinjaman' itu, tetapi jika ia disalahgunakan tidak mustahil rakyat akan menyita semula kuasa yang dipinjamkan.

Kini kelaparan rakyat semakin jelas. Rakyat telah memberi isyarat kepada kerajaan di Cameron Highlands semalam. Rakyat telah menyerahkan kuasa kepada calon parti pembangkang.

Anggaplah ia referendum pertama rakyat dalam tempoh lima tahun pemerintahan. Referendum yang amat signifikan untuk difahami oleh kerajaan ketika perut rakyat semakin lapar pada hari ini.

Kemenangan pembangkang pada PRK Cameron Highlands bukan kerana faktor Najib Razak. Najib cuma watak atau subjek ‘sekadar ada’ untuk memeriah dan mewarnai kempen PRK itu.

Walaupun Najib digelar Raja Troll, memakai malung di kepala dan berhias di atas motosikal kapcai, rakyat akan tetap memilih yang terbaik kalau kerajaan itu sendiri memang telah cuba dan berusaha menunjukkan cara kerja yang terbaik.

Rakyat tidak sebodoh itu mendengar dan berbuat apa yang Najib minta atau suruh. Jangan khuatir atau salahkan Najib.

Kalau Najib dipakaikan helmet terbalik pun semasa berkempen di PRK itu - dan foto helmet terbalik dipakainya itu tular sekali pun - ia tidak menjadi penentu kepada parti mana yang disokong rakyat.

Kehadiran Najib sebenarnya tidak membawa makna besar. Adanya Najib tidak bertambah, tiadanya Najib tidak berkurang pada PRK itu.

Mahu yang lebih baik

Najib bukan barometer paling tepat kepada rakyat untuk menentukan undi. Umpan dengan isu agama atau perkauman juga tidak akan menarik ingin untuk dimakan oleh rakyat kalau perut mereka tidak lapar.

Realitinya, PH kalah pada PRK itu.

Sebenarnya, ketika PRK Cameron Highlands berlangsung, rakyat melihat dalam keadaan lapar. Apabila rakyat melihat kerajaan seperti gagal menangani kelaparan mereka, maka mereka pun berkata: Nah! Ini makannya!

Dan jelas musibah yang menimpa ialah majoriti kekalahan meningkat berganda-ganda. Daripada lebih 500 undi pada PRU ke-14 menjadi lebih 3,000 kali ini.

Baliklah ke pangkal jalan. Masanya belum terlewat. Ujian terdekat ada pada PRK DUN Semenyih tidak lama lagi. Rakyat telah lama lapar.

Itu juga sebabnya kenapa sebahagian besar rakyat memilih sebuah kerajaan baru bagi menggantikan kerajaan lama yang bersifat kleptokrasi pada Mei 2018.

Rakyat mahukan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang diperolehi pada waktu sebelum ini. Kelaparan rakyat akan mengundang ibu kepada segala kemarahan.

Sebuah kerajaan boleh jatuh jika ia membiarkan rakyatnya terus lapar. Kurangkanlah berlebih-lebih mendodoikan rakyat dengan cerita keburukan dulu-dulu.

Nasihatkanlah menteri supaya menjaga mulut. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak cakap eloklah berundur. Masuklah ke perut rakyat dan lihatnya betapa usus mereka sedang tercungap-cungap menunggu makanan untuk dihadam.

Banyak perkara utama yang mesti didulukan. Perkara yang kurang penting, bolehlah dilewatkan. Rakyat pun tidak zalim untuk melihat telur menetas menjadi anak dalam sekelip mata.

Tapi ingatlah, ini bukan alasan untuk berleka-leka. Jangan membuka ladang alasan berekar-ekar untuk melindungi kelemahan berleluasa yang berlaku.

Rakyat masih memberi peluang walaupun sebenarnya mereka tengah perit menahan kelaparan. Masih ada kesabaran mereka melihat gelagat, kelaku serta kerenah politik yang memualkan.

Tapi seperti kata orang bijaksana, kesabaran itu ada hadnya. Apa yang telah berlaku kepada BN dulu mesti dijadikan pelajaran yang amat berguna untuk kerajaan yang ada.


A HAMID KARIM ialah bekas wartawan dan pemenang Anugerah Kajai.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS