BERITA Malaysiakini

Najib: Hutang Selangor pada k'jaan lagi besar dari Pahang

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Hutang yang ditanggung Selangor kepada kerajaan persekutuan lebih besar daripada Pahang, kata bekas perdana menetri Najib Razak.

Menurut Najib pada suatu hantaran Facebook, liabiliti Selangor kepada kerajaan pusat sebanyak RM25 bilion berbanding RM3 bilion bagi Pahang.

Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng membuat kiraan hutang Malaysia sebanyak RM1 trilion berdasarkan faktor hutang dan liabiliti kerajaan.

Lim juga pernah mempersoalkan jika Pahang dengan hutang sebanyak RM3.18 bilion berkeupayaan untuk membangunkan negeri itu.

Najib menjelaskan mengenai hutang Selangor berkata ia berpunca daripada liabiliti negeri itu sebanyak RM25 bilion yang disalurkan Putrajaya di antara 2010 dan 2018 bagi tujuan penstrukturan semula aset air di Selangor.

Bekas menteri kewangan juga mendakwa rundingan Selangor dengan Putrajaya adalah supaya kerajaan persekutuan membeli aset airnya dan kemudian menyewakan kembali kepada negeri.

Pahang pinjam terus dari Putrajaya

"Meminta kerajaan pusat mengeluarkan dana untuk membeli aset-aset infrastruktur air dan menyewa kembali aset-aset ini kepada negeri. Kaedah ini digunakan untuk Selangor.

"Ini termasuk untuk projek penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor, projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan skim penstrukturan semula industri bekalan air.

"Selangor membayar balik kepada kerajaan pusat dengan cara pajakan iaitu bayaran sekitar RM750 juta setiap tahun selama 45 tahun sebelum aset-aset ini dikembalikan kepada negeri," katanya.

Secara perbandingan, Najib berkata Pahang memiliki hutang sebenar kerana dipinjam terus dari Putrajaya dan tetap menjadi pemilik asetnya.

"Walaupun kedua-dua kaedah melibatkan kerajaan pusat mengeluarkan dana untuk negeri, kaedah kedua tidak dikira sebagai hutang rasmi negeri kerana ianya diklasifikasi sebagai pajakan.

"Bagaimanapun, kedua-dua kaedah memerlukan negeri untuk membayar balik kepada kerajaan pusat - sama ada dengan membayar hutang seperti Pahang ataupun secara ansuran melalui bayaran pajakan tahunan seperti Selangor (dan Pulau Pinang)," katanya lagi.

Najib menempelak Lim yang tidak menjelaskan keadaan sebenar ketika mengkritik Pahang mengenai hutangnya.


BACA BERKAITAN: Pahang hutang tertinggi, sukar bantu rakyat - Guan Eng