Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa Malaysia tekal menunjukkan sikap membela Palestin walaupun berdepan dengan reaksi dari pihak yang cenderung kepada Israel.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata sudah sampai waktu untuk Putrajaya meneliti dasar negara terhadap Israel yang mencakupi pelbagai aspek, termasuk ekonomi dan perdangangan, sosial, budaya, sukan dan akademik.

"Sikap Malaysia perlu menjadi petunjuk penting kepada dunia bahawa polisi terhadap Israel mesti berprinsipkan keadilan untuk rakyat Palestin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Mohd Azmi mengulas mengenai keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang membatalkan hak Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan Renang Para Dunia 2019.

Langkah itu diambil IPC sebagai tindak balas sikap Putrajaya enggan membenarkan atlet dari Israel masuk ke negara ini.

Ia ditegaskan beberapa kali oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dan mendapat sokongan pelbagai pihak.

Kata Mohd Azmi keputusan IPC itu menunjukkan badan terbabit bersikap pro-Israel iaitu sebuah negara yang berkali-kali melanggar undang-undang antarabangsa.

Menurutnya rejim Zionis itu tidak pernah mematuhi sebarang resolusi yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).


Baca Dr M: Israel penjenayah, M'sia tak mahu ada urusan


"Keputusan muktamad Malaysia yang tidak berganjak daripada menghalang peserta Israel dari masuk ke negara ini adalah pendirian yang berprinsip dan bermoral.

"Mapim berpendapat sebagai sebuah negara berdaulat Malaysia berhak menentukan siapa yang boleh masuk atau tidak ke negara ini," katanya.

Pada masa sama Mohd Azmi berkata IPC menjadi alat Israel dan berkompromi dengan penjenayah perang.

Katanya tindakan IPC tunduk kepada Israel dan menghukum Malaysia menunjukkan pertubuhan berkenaan mengutamakan rejim Israel berbanding hak Malaysia yang berdaulat, serta mengetepikan keadilan untuk rakyat Palestin.

"Sikap tegas Malaysia adalah suatu mesej penting kepada dunia.

"Seluruh komuniti antarabangsa perlu menyokong prinsip menolak Israel sebagai negara yang sah," katanya.

Selain itu kata Mohd Azmi, Mapim mendesak semua negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan PBB bersatu memberi tekanan kepada Israel.

"Sikap berdegil malah keras kepala Israel mesti ditentang habis-habisan," katanya.