Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mazlan Mansor pengarah JSJK baru
Diterbitkan:  Jan 29, 2019 4:10 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Datuk Mazlan Mansor hari ini dilantik menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman yang baharu berkuatkuasa serta-merta.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pelantikan bekas Ketua Polis Selangor itu adalah untuk menggantikan Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang memangku jawatan berkenaan sebelum ini.

Beliau berkata Mazlan seorang yang berpengetahuan luas dan berpengalaman ketika menerajui polis kontinjen Selangor dan beliau masih meneruskan tugas-tugas sebagai Ketua Polis Selangor sehingga menemui pengganti baharu jawatan terdahulu beliau.

"Berdasarkan pengalaman beliau yang pernah menjawat jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak pada tahun 2005 lepas, saya amat pasti beliau (Mazlan) bersedia dengan agenda transformasi JSJK tersendiri," katanya selepas hadir majlis serah terima tugas pemakaian pangkat pegawai kanan polis dan penganugerahan pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut dilantik pada hari yang sama adalah Datuk Abd Rahim Jaafar sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman yang baharu berkuatkuasa serta-merta.

"Beliau (Abd Rahim) menggantikan Datuk Abd Jalil Hassan yang memangku jawatan berkenaan sebelum ini dan saya percaya beliau akan memperkasakan lagi urus tadbir jabatan pengurusan bagi mengawal selia pelbagai aspek, antaranya latihan, pembangunan kerjaya, saraan dan kebajikan seluruh warga polis.

"Abd Rahim juga akan kembali ke Kedah bagi menjalankan tugas-tugas sebagai Ketua Polis Kedah buat sementara waktu sehingga kami menemui pengganti baharu jawatan lama beliau.

"Beliau juga akan menguruskan hal-hal berkaitan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) yang akan berlangsung pada Mac ini," katanya.

Pada majlis berkenaan, turut dipakaikan lencana pangkat kepada 19 pegawai kanan polis yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai laporan polis dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, M Manogaran semalam, Mohamad Fuzi berkata pihaknya akan mengambil tindakan mengenai perkara itu.

“Kami akan kaji aspek kesalahan sama ada berkaitan dengan tanggungjawab polis, SPR atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya sambil menambah polis belum mengambil keterangan Manogaran.

Semalam, SPR telah membuat laporan polis terhadap Manogaran berikutan tindakannya memasuki pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Senderut, Hulu Jelai pada hari pengundian dengan memakai baju yang mempunyai logo parti.

SPR menjelaskan bahawa tindakan itu adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 dan laporan polis dibuat oleh petugas SPR di Balai Polis Sungai Koyan.

Sementara itu, mengenai keputusan laporan hasil sampel air kencing anak Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Mohamad Fuzi berkata perkara berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur.

“Saya dimaklumkan laporan masih belum diterima oleh pihak kimia dan saya juga mahukan keputusan laporan hasil sampel air kencing itu dipercepatkan," ujarnya.

Pada 5 Jan lepas, anak Mat Sabu dan rakannya berusia 33 tahun ditahan dalam pemeriksaan polis di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang di Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3.00 pagi itu.

Kedua-dua lelaki berkenaan disyaki positif dadah jenis ganja dan dibebaskan dengan jaminan polis.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS