Petronas buat laporan susulan 'dakwaan jahat' laman web
Petronas membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung kiriman dalam sebuah laman web yang menurutnya mengandungi dakwaan yang berniat jahat.
"Petronas ingin menegaskan bahawa dakwaan (di laman web itu) tidak berasas dan tidak benar.
"Petronas sentiasa menjaga tadbir urus korporat pada tahap tertinggi serta memastikan ketelusan dalam semua urusan perniagaan dam kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terus merosakkan reputasi dan integriti syarikat ini atau kakitangannya," kata kenyataan media yang dikeluarkan Petronas hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, Petronas menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut.
Meskipun Petronas tidak menyebut nama laman web berkenaan, semakan menunjukkan laman web Sabahkini2.com semalam memuat naik kiriman yang mengandungi tuduhan serius terhadap Petronas dan turut mengaitkan seorang bekas pemimpin bahagian Umno.
The Edge turut melaporkan bahawa Sabahkini.com mempersoalkan sama ada benar dakwaan yang mengatakan beberapa syarikat diberi layanan istimewa daripada Petronas jika ia melibatkan bayaran rasuah.
Sabahkini2.com mendakwa syarikat tertentu menerima layanan istimewa Petronas.
Laporan The Edge menyatakan syarikat berkenaan belum membalas permintaan untuk memberi ulasan berhubung dakwaan itu.
Bekas pemimpin bahagian Umno itu memegang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas syarikat berkenaan.
September lalu, bekas pemimpin Umno yang lantang yang sering mempertahankan Najib Razak yang ketika itu merupakan perdana menteri, meninggalkan parti dengan alasan ingin "menjaga kepentingan Melayu di Wilayah Persekutuan."
Bagaimanapun, laporan Sabahkini2.com mendakwa bekas pemimpin Umno itu berbuat demikian "demi kepentingan sendiri".
Malaysiakini sedang menghubungi bekas pemimpin Umno berkenaan.

