Pelantikan anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baru dibuat berdasarkan kemampuan untuk membawa tiga gagasan Islam yang diketengahkan Pakatan Harapan (PH), kata Dr Mujahid Yusof.

Tiga gagasan yang dimaksudkan menteri agama itu ialah 'Rahmatan Lil Alamin', 'Maqasid syariah' dan 'Model Malaysia'.

"Sudah tentulah saya sebagai orang yang mencadangkan nama untuk dipersetujui perdana menteri, saya mahulah mereka yang duduk di dalam Yadim ini mereka yang dapat ikut tiga gagasan itu.

"Bukan cara saya bekerja untuk melantik sesiapa saja yang tak boleh bawa kita punya gagasan ini.

"Jadi itu adalah saya punya cara untuk memastikan pentadbiran Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Islam ini antaranya ialah Yadim dapat bawa gagasan besar ini.

"Itu adalah saya punya preferential bagi menyesuaikan dengan dasar yang ada.

Itu sebab mereka mengisi itu di atas kemampuan mereka," katanya selepas menyerahkan surat pelantikan kepada 12 anggota lembaga pemegang amanah baru Yadi di Putrajaya hari ini.

Mujahid, yang juga merupakan naib presiden Amanah, berkata demikian sebagai mengulas kritikan beberapa pihak termasuk pemimpin pembangkang berhubung pelantikan berkenaan.

Mujahid turut menjelaskan bahawa Yadim kini diletakkan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), maka ia yayasan itu tidak memerlukan perwakilan Jakim dalam lembaga pemegang amanah.

Berhubung pelantikan Sheikh Omar Ali yang merupakan Adun Paloh dari DAP, Mujahid menolak dakwaan yang mengatakan parti komponen PH itu sebagai tidak mengiktiraf perlembagaan dan anti-Islam.

"Kalau DAP tak iktiraf perlembagaan, macam mana dia boleh jadi sebahagian daripada kerajaan?" katanya.

Pada majlis petang tadi, Mujahid menyerahkan surat pelantikan kepada presiden Yadim yang baru, Nik Omar Nik Abdul Aziz, Timbalan Presiden Zolkharnain Abidin, dan 10 anggota lembaga pemegang amanah.

Nik Omar merupakan anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga merupakan anggota Amanah. Sementara Zokharnain merupakan pengarah hal ehwal syariah Amanah.