Penganjur Festival Demokrasi menjelaskan bahawa jemputan yang dipanjangkan kepada intelektual Amerika Syarikat, Noam Chomsky bagi acara berkenaan bukanlah untuk berkongsi pentas secara fizikal dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, menurut anggota lembaga pengarah Angkatan Pembaharuan Asia Tenggara (Forsea), Hishamuddin Rais, jemputan yang dibuat adalah untuk tokoh itu memberikan pandangan melalui siaran langsung (live telecast).

“Jemputan untuk memberikan komen, dia akan live telecast. Kami dah umumkan semalam," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan FMT hari ini yang menafikan kedatangan Chomsky ke Malaysia bulan depan.

Memetik emel kepada Dr Chandra Muzaffar, Chomsky dilaporkan berkata beliau tiada masalah mengakui sekiranya berita itu sahih, tetapi beliau tiada rancangan untuk melawat Malaysia buat masa ini.

Tambah Hishamuddin, pada siaran langsung itu nanti, Chomsky dijemput untuk memberi pendapatnya tentang rantau Asia Tenggara.

“Memang daripada awal dijelaskan, dia (Chomsky) dijemput untuk memberi komen terhadap Asia Tenggara, bukannya satu platform dengan Mahathir di forum itu.

“Sebab itu pentingnya datang (ke sidang media), tanya (kepada pengajur)," tambahnya lagi.

Chomsky yang merupakan profesor di Massachusetts Institute of Technology antara lain dikenali sebagai pengkritik rejim Israel.

Festival Demokrasi dijadual berlangsung dari 13 hingga 17 Februari 2019 di Publika, Kuala Lumpur.

Pengisian acara berkenaan antaranya akan membicarakan pengalaman serantau, termasuk isu Rohingya, pengalaman pertukaran rejim secara berdarah Indonesia pada 1965 dan pengalaman Kemboja di era Pol Pot.