Program MBA di UNMC kehilangan tenaga pengajar
Terjemahan Sekolah Pengajian Perniagaan Universiti Nottingham Cawangan Malaysia (UNMC) dikatakan kehilangan ramai tenaga pengajarnya dan ini dibimbangi boleh menjejaskan kualiti program tersohor Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
Terjemahan Sekolah Pengajian Perniagaan Universiti Nottingham Cawangan Malaysia (UNMC) dikatakan kehilangan ramai tenaga pengajarnya dan ini dibimbangi boleh menjejaskan kualiti program tersohor Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
Ia dikatakan telah kehilangan separuh tenaga pengajar kanan, termasuk pensyarah yang dipinjamkan dari UK, dengan ramai lagi dikatakan akan berhenti hujung bulan ini.
Dr Geoffrey Williams, yang berhenti pertengahan bulan Disember lalu berkata, sembilan daripada 14 tenaga pengajar kanan telah berhenti atas pelbagai sebab, walaupun puncanya dipercayai disebabkan oleh 'rasa tidak puashati' terhadap pihak pentabiran universiti tersebut.
Beliau berkata, pada mulanya sekolah tersebut mempunyai 18 kakitangan tetapi selepas itu hanya 14 orang yang masih tinggal dan jumlahnya semakin berkurangan.
"Daripada sembilan orang (yang telah berhenti) itu, enam adalah pensyarah UK, dan dua pensyarah rakyat Malaysia. Pengurus sekolah tersebut adalah rakyat Malaysia," katanya kepada malaysiakini dalam interview melalui emel.
"Saya difahamkan, mereka telah mengambil bekerja seorang profesor madya dari Universiti Malaya dan seorang penolong profesor dari Monash (Malaysia)," ujarnya.
Sepanjang tempoh 18 bulan lalu, katanya, sekolah tersebut kehilangan dua orang profesor, empat profesor madya, dua penolong profesor dan pengurus sekolah sama ada berhenti atau kontrak mereka tidak disambung.
"Bagi sekolah yang mempunyai 14 kakitangan, ini adalah satu kehilangan besar, terutama apabila mereka merupakan tenaga pengajar kanan dalam bidang pengajian teras.
"Saya menyebut perkara ini kerana ramai kakitangan (UNMC) kini rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pengalaman tentang sistem (pendidikan) di UK, oleh itu para pelajar belajar dalam suasana yang sama dengan mana-mana universiti di Malaysia, sedangkan mereka membayar yuran yang banyak kali ganda tingginya!" katanya.
Naib Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UNMC, Prof Brian P Atkin telah dilaporkan berkata, kadar yuran yang dikenakan untuk belajar di sini adalah kira-kira 50 peratus lebih rendah daripada di UK.
Pensyarah tidak puashati
Tahun lalu, Williams memfailkan aduan dengan Persatuan MBA (AMBA), badan akreditasi global yang memantau pengekalan kualiti program MBA, kerana mendakwa wujud perbezaan dalam sistem pemarkahan yang boleh menjejaskan gred keseluruhan pelajar MBA.
Semalam, malaysiakini telah menyiarkan satu laporan ekslusif berdasarkan aduan tersebut. UNMC telah menafikan semua dakwaan tersebut.
Williams, 36, seorang pensyarah kanan yang dipinjamkan dari Universiti Nottingham, UK, untuk mengajar ekonomi kewangan di UNMC berkata, beliau turut menjadi 'mangsa' dan mengambil keputusan untuk berhenti.
"Seorang rakan (Dr) John Zinkin yang menulis emel menyokong saya mengenai perbezaan sistem pemarkahan itu, telah meletakkan jawatan sebagai profesor madya pemasaran dan strategi serta sebagai pengarah halehwal luar. Beliau akan berhenti hujung bulan ini.
"Peletakan jawatannya itu tiada kaitan secara langsung dengan isu pemarkahan itu, tetapi lebih berkaitan dengan rasa tidak puashati (dengan pihak pentadbiran universiti).
"Ini bermakna sekolah ini telah kehilangan empat kakitangan kanan dalam masa dua minggu tahun ini (iaitu) saya, Zinkin dan dua orang lagi Prof Bala Ramasamy dan Prof Madya Leong Kai Hin."
Katanya, Bala yang merupakan prof madya bagi perniagaan dan ekonomi antarabangsa, telah berhenti untuk ke China manakala Leong akan berhenti Februari ini.
"Ini menyebabkan hampir mustahil bagi pihak sekolah berkenaan mengendalikan program MBA dengan menggunakan kakitangan tempatan dan tidak jelas sama ada program ini boleh berterusan dalam bentuk sekarang," katanya.
Bagaimanapun mereka, termasuk Atkin, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenainya.
Soalan telah dihantar melalui emel kepada Zinkin, yang juga merupakan pengarah perhubungan luar dan kepada Atkin awal hari ini.
Sistem pemarkahan
Williams berkata, di UK, contohnya, kertas ujian diperiksa dua kali tetapi di sini ia dilakukan tiga kali dengan yang terakhirnya dilakukan di UK. Ia menunjukkan seolah-olah pihak pentadbiran tidak percayakan pemeriksa di Malaysia, walaupun mereka datang dari Nottingham.
Tidak dapat diapastikan apa dan setakat mana kesan kehilangan tenaga pengajar itu terhadap kualiti ijazah MBA yang ditawarkan di UNMC.
Ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini, Williams menyifatkan keadaan itu sebagai 'satu kehilangan besar tenaga akademik British'.
"Ini sama seperti yang berlaku dalam universiti tempatan sejak bertahun-tahun lalu, disebabkan oleh pentadbiran yang tidak baik dan campurtangan politik.
"Contohnya, Bala telah ditawarkan pakej gaji lima hingga enam kali lebih rendah daripada apa yang diperolehi penyandang sebelumnya. Ini jelas satu diskriminasi," katanya.
Williams mendakwa, masalah di UNMC adalah merupakan kes mengorbankan kualiti yang dipertahankan di Nottingham UK, untuk mendapatkan kuantiti.
"Saya dan beberapa rakan yang lain bimbang mengenai pelajar di sini kerana keputusan mereka adalah bagus setanding walaupun tidak lebih baik, daripada pelajar lain di UK," katanya.
Beliau berpendapat, program MBA itu sama ada ditutup atau ditawarkan mengikut kaedah yang digunakan di Singapura di mana kelas pengajian diadakan dihotel yang dikendalikan oleh pensyarah yang dibawa ke republik itu.
Universiti tersebut memulakana pengambilan pelajar di kampus barunya yang bernilai RM120 juta di Broga, September tahun lalu.
Ia dijalankan sebagai syarikat usahama bertaraf MSC (Koridor Raya Multimedia) dengan Boustead Holdings (66 peratus), Universiti Nottingham (29 peratus) dan syarikat pemaju hartanah YTL Corp (5 peratus).
Nottingham mengendali dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap urusan pendidikan di kampus cawangan tersebut dan di segi kewangannya ia bertanggungjawab kepada lembaga penarah yang dipengerusikan oleh Tengku Ahmad Rithaudeen. Berita asal

