Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarikat dapat projek ladang hutan ikut prosedur ditetapkan, kata MB

Kerajaan Perak memberikan kelulusan kepada sebuah syarikat untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan seluas 400 hektar di dua lokasi mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata keputusan juga dibuat selepas melihat latar belakang dua pengarah syarikat yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penanaman semula ladang hutan selain mempunyai kaitan dengan syarikat yang lebih besar.

Katanya syarikat tersebut juga akan bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi mengusahakan ladang hutan untuk kawasan hutan sekunder.

“Ini boleh memberi hasil yang besar kepada negeri dalam satu tempoh yang akan datang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Iskandar daerah Perak Tengah di Parit hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Saarani Mohamad yang mempertikaikan kelulusan permit projek pembangunan ladang hutan itu di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta Manjung.

Ahmad Faizal berkata kesemua syarikat perlu melalui prosedur dan melepasi syarat kelayakan ditetapkan Jabatan Perhutanan sebelum dibawa masuk ke mesyuarat jawatankuasa hutan bagi mendapatkan sebarang kelulusan.

Beliau turut mengalu-alukan siasatan secara terperinci dari SPRM dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya.

Pada majlis hari ini, sebanyak 99 unit rumah PPR yang dibina dengan kos RM158,000 tetapi dijual pada harga RM35,000 diserahkan kepada pemilik yang merupakan golongan B40.

Rumah itu dibina pada 29 April 2016 dan siap sepenuhnya pada 28 April tahun lalu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS