Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Anggota parlimen Bachok, Nik Mohamad Abuh Nik Abdul Aziz mempertahankan tindakan beliau menafikan kesahihan suaranya dalam audio PAS menerima dana daripada Umno itu adalah langkah yang tepat.

Katanya, dalam soal menjaga kerahsiaan parti perkara itu juga pernah diamalkan oleh ayahnya, allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika memimpin PAS.

"Ia hanya soal kerahsiaan dan bila kita berada dalam parti besar apatah lagi parti Islam, maka soal kerahsiaan itu adalah sesuatu yang valid, ada ilmunya dalam agama. Banyak contoh-contohnya.

"Saya buat contoh yang dekat kita di Kelantan ini ialah dalam isu baiah, taklid talak (isteri) terhadap wakil rakyat PAS di Kelantan. Apabila dokumen itu tular, almarhum tok guru Nik Aziz ditanya dan dia menafikan sekeras-kerasnya.

"Maknanya kalau nak kata bohong pun bohonglah, tapi ia bab kerahsiaan. Dia menjaga rahsia wujudnya baiah itu walaupun dah bocor sampai ke mati," katanya kepada media di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, hari ini.

Allahyarham Nik Abdul Aziz, bekas mursyidul am PAS dan menteri besar Kelantan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penafiannya terhadap rakaman audio penerimaan dana daripada Umno melibatkan pimpinan PAS yang tersebar sebelum ini.

Bagaimanapun PAS semalam mengesahkan Nik Abduh mengakui kesahihan audio itu mengandungi suaranya.

Susulan itu, Nik Abduh tampil mengakui perkara itu dalam satu hantaran panjang di Facebooknya hari ini.

Dalam hantaran itu, beliau antara lain berkata membuat penafian selepas pimpinan PAS berkeras agar beliau berbuat demikian dan ia mendapat restu Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Sebelum itu, Hadi berkata beliau menyerahkan soal itu kepada Nik Abduh sendiri.

"Nik Abduh sendiri (yang cakap), bukan saya, terpulang pada Nik Abduhlah. Mungkin orang lain menafikan, tapi Nik Abduh tahulah dia cakap," kata Hadi.


BacaNik Abduh: Hadi restu saya nafi rakaman audio

BacaAudio Nik Abduh lebih pada 'perbincangan ilmu' – Hadi


Mengulas lanjut, beliau yang juga anggota parlimen Bachok berkata pengalamannya sebagai anak menteri besar mengajarnya bagaimana untuk mengendalikan soal-soal rahsia.

"Almarhum ayah banyak ajar. Saya sebagai anak MB banyaklah tahu rahsia, apa yang orang tak nak beritahu ayah, mereka beritahu saya.

"Jadi ada kala banyak rahsia saya nak tanya tok guru (Nik Aziz). (Bila) terlepas tanya dia marah sebab tak mahu rahsia dibawa ke luar.

"Itu mengajar saya bila kita di daalm parti besar, kena jaga rahsia dan bila saya buat keputusan untuk menafikan (rakaman suara), itu dengan niat untuk mengajar budak-budak (mereka yang hadir ketika rakaman dan sedia menjadi saksi) yang saya sebutkan tadi," katanya lagi.

'Bukan soal reputasi saya'

Beliau berkata penafiannya sebelum ini demi mengelak masalah lebih besar terhadap PAS.

"Kita mesti mengajar disiplin (dalam parti). Saya sudah sebut bahawa berhak untuk bercakap benar, tetapi tangguh dulu, berbincang dengan kawan-kawan dalam parti kerana ia libatkan jemaah.

"Ini bukan soal reputasi saya (tapi) parti. Saya yakin keputusan itu diberkati Allah, PAS masuk pilihan raya dengan gagah dan kita berjaya menambah kekuatan," katanya lagi.

Beliau sekali lagi menegaskan ucapannya ketika itu perlu difahamkan mengikut konteks sebenar.

"Malah yang baca tulisan (pengakuan) saya pun ada lagi tak faham sebab tak tahu cerita sebenar. Saya menulis tadi pun dalam keadaan sukar," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS