Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata keputusan untuk menganugerahkan tanah seluas 400 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong di Perak untuk tujuan pembangunan perladangan bukan dibuat berdasarkan rekod prestasi syarikat, tetapi pengetahuan dan pengalaman pengurusannya.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap keputusan untuk memberi projek kepada sebuah syarikat yang ditubuhkan pada Julai 2018.

Faizal berkata pengurusan syarikat berkenaan sebelum ini bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia untuk membangunkan kawasan yang tidak produktif.

"Saya tidak kenal kedua-dua pengarah, tetapi berdasarkan pengalaman mereka dan kerja mereka dengan Jabatan Perhutanan, kami meluluskan projek itu.

"Kami tidak lihat bila syarikat itu terbentuk. Ia boleh jadi sebuah syarikat yang ditubuhkan 100 tahun yang lalu tetapi diuruskan oleh seorang yang berusia 18 tahun," katanya

Menurutnya syarikat berkenaan merupakan sebuah syarikat baru yang diuruskan oleh individu berpengalaman.

Anggota Parlimen Kampar, Thomas Su mempersoalkan keputusan kerajaan negeri, dengan mengatakan terdapat keraguan mengenai bagaimana syarikat baru itu boleh mendapatkan permit untuk membangunkan projek itu di dua lokasi iaitu Rizab Hutan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta di Kinta Manjung.

Anggota Parlimen DAP itu kemudian membuat laporan berkenaan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas mengenai perkara itu, Faizal berkata kerajaan negeri akanmemberikan kerjasama dengan pegawai SPRM.

"Kami di Pakatan Harapan ingin melihat perubahan, dan membatalkan kerosakan yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu," katanya.