Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sah, komitmen PAS untuk BN di Semenyih kini berbeza
Diterbitkan:  Feb 17, 2019 5:33 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

PRK SEMENYIH | Teka-teki mengenai status PAS dalam PRK Semenyih kali ini akhirnya terjawab walaupun ia masih boleh dianggap tidak begitu jelas.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata untuk PRK yang sedang dalam proses rancak berkempen sekarang parti itu lagi tidak memberikan tahap pembabitan seperti di Cameron Higlands.

Kata Takiyuddin pendirian itu selaras dengan sikap PAS yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi hal-hal lain, serta hubungan mereka dengan Umno dibuat atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.

"PAS menyatakan pendirian tidak bertanding dalam PRK Semenyih dan memberi laluan kepada wakil pembangkang, iaitu BN, dengan tahap komitmen serta kadar penglibatan yang berbeza keadaannya pada PRK Cameron Highlands," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Merujuk kepada kenyataan perdana menteri bahawa Takiyuddin menandatangani surat perakuan, anggota parlimen Kota Bharu itu tidak menafikan hal berkenaan.

Bagaimanapun katanya Takiyuddin, perakuan bertulis tersebut berbentuk contoh saja.

"Perakuan bertulis yang berbentuk contoh (sample) diberikan sebagai komitmen sokongan PAS terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad di atas dasar menjaga kepentingan agama, negara dan bangsa sehingga PRU ke-15," katanya.

Semalam Mahathir memberikan sedikit maklumat mengenai pertemuan kali kedua beliau dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur.

Pertemuan tersebut berlangsung di pejabat Mahathir di Yayasan Al-Bukhari dan atas permintaan Abdul Hadi.

Kata Mahathir PAS menyatakan perakuan untuk tidak memberikan sokongan kepada Umno dan BN dalam PRK Semenyih yang akan berlangsung pada 2 Mac ini.


Baca Mustahil PAS tak sokong Umno, kata naib presiden


Kenyataan itu dibuat perdana menteri pada hari yang sama ramai pemimpin PAS hadir memberi sokongan kepada BN di pusat penamaan calon PRK Semenyih di Kajang.

Antara pemimpin PAS yang hadir ialah dua naib presidennya, Idris Ahmad dan Iskandar A Samad serta bendahari Razman Zakaria, serta pesuruhjaya parti itu untuk Selangor Sallehen Mukhyi.

Kata Takiyuddin persetujuan turut dicapai untuk PAS menjalin kerjasama yang lebih baik berdasarkan semangat federalisma di antara Putrajaya dan kerajaan Kelantan serta Terengganu.

"Khususnya dalam hal berkaitan pentadbiran, pembangunan dan pemberian royalti," katanya.

Terdahulu, PAS mengadakan mesyuarat khas di Masjid Rusila, Marang, dipercayai berhubung pendedahan yang dibuat Mahathir itu.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Abdul Hadi dan melibatkan kehadiran hampir kesemua pemimpin kanan parti itu.

Antara pemimpin petang ini ialah Idris serta seorang lagi naib presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, Ketua Dewan Ulamak, Dr Mahfodz Mohamed, Bendahari Dewan Ulamak PAS, Dr Khairuddin Aman Razali serta Takiyuddin sendiri.

Tidak ketinggalan Ketua Penerangan Nasrudin Hassan, Ketua Pemuda, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh.

Lihat Komen
ADS