Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN l Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini menyeru rakyat Malaysia untuk menyokong kerajaan Pakatan Harapan. Ini agar mudah untuk kerajaan membuat kerja dan melaksanakan dasar.

Secara umumnya, saya secara peribadi akan sentiasa menyokong dasar yang baik. Kita bukan masyarakat yang taasub berpolitik sepanjang masa sehingga tidak mampu melihat maslahat yang besar dalam sesuatu perkara.

Cuma, saya tidak bersetuju dengan seruan semberono dan pukul rata seperti ini atas beberapa alasan.

Pertama, rakyat berhak memilih dan mengkritik. Apabila rakyat, yang sebelum ini dipuji habis-habisan kerana berani menukar kerajaan, mengecam prestasi kerajaan semasa, ia adalah sesuatu yang mesti terus diraikan.

Tidak boleh double standard dan memuji keberanian rakyat secara berpilih-pilih mengikut apa yang menyebelahi Pakatan Harapan sahaja.

Jika rakyat bersedia menukar kerajaan, sudah pastilah mereka sangat matang untuk menilai sama ada sesuatu dasar kerajaan itu wajar disokong atau sebaliknya. Mereka punya kebebasan tersebut.

Kedua, rakyat mempamerkan rasa tidak puas hati bukan secara suka-suka. Tetapi, kekecewaan mereka bersebab dan berasas.

Saya yakin rakyat Malaysia hari ini sangat kecewa dan berasa tertipu. Bukan sahaja dengan ketiadaan dasar dan hala tuju negara yang jelas. Tetapi dengan sikap dan pendekatan semasa yang dilihat sangat tidak mesra rakyat.

Misalnya, tindakan tidak sensitif dalam mengusulkan ratifikasi Konsyensen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) sebelum ini yang menimbulkan kemarahan orang Islam, keputusan untuk tidak meneruskan rayuan dalam kes Pulau Batu Putih, melepaskan aset-aset strategik negara dan Bumiputera.

Semua ini mengundang persoalan dan kerisauan.

Malah, sesetengah dasar negara hari ini adalah mengelirukan. Cadangan mengeluarkan kereta nasional ketiga misalnya. Perkara ini adalah tidak cermat kerana tiada sebarang keperluan mendesak. Sebaliknya memerlukan dana yang sangat besar dan dahsyat saiznya dari kerajaan.

Demikian juga dalam isu kerjasama dan perdagangan dengan negara China.

Sebelum ini, tindakan berbaik dan rapat dengan negara komunis tersebut digambarkan sebagai sangat teruk dan mampu menggugat kedaulatan negara. Tetapi kini, kerajaan mengerahkan segala sumber yang ada demi menarik masuk pelaburan dari China.

Selain itu saya lihat banyak sekali dasar dan keputusan kerajaan hari ini yang dibuat tanpa terlebih dahulu mendapatkan maklum balas, saranan serta input dari masyarakat dan pihak yang bakal terkesan dengan keputusan tersebut.

Terbaharu, lihat sahaja inisiatif kementerian pelajaran yang berhasrat memastikan perhimpunan sekolah tidak lebih dari 10 minit.

Perkara ini mengundang kegusaran dan penolakan yang besar dari kalangan guru yang melihatnya sebagai tidak logik, tidak praktikal dan begitu menggambarkan ketidakfahaman kementerian tentang bagaimana sekolah diuruskan.

Dalam hal yang lain, keluhan dan kekecewaan juga disuarakan apabila kerajaan, tidak semena-mena memutuskan untuk membatalkan subsidi haji kepada mahram atau pengiring jemaah yang terpilih.

Jika kerajaan BN sebelum ini mampu melakukannya tanpa masalah, mengapa kini semua perkara mesti diubah dengan cara yang akhirnya menyusahkan rakyat?

Jadi, dalam segala kekalutan dasar seperti ini, adakah Dr Mahathir masih mengharapkan rakyat hanya menyokong dan menurut secara membuta tuli sahaja? Tentu tidak.

Inikan Malaysia Baharu.

Ketiga, saya sangat berharap yang Dr Mahathir melihat dan menerima dengan terbuka bahawa mentaliti menyalahkan orang lain masih menebal, malah semakin teruk di kalangan kabinet kerajaan. Segala-galanya salah orang lain.

Sedangkan sangat jelas, selepas sembilan bulan pentadbiran PH, tiada dasar baharu yang benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat secara besar-besaran. Bukan rakyat tidak sabar atau menuntut sesuatu di luar kelaziman dan kewarasan.

Tetapi, kerajaan hari ini harus sedar, pra PRU14 PH sendiri yang telah ke hulu dan hilir mencanang bahawa mereka sudah mempunyai formula bagaimana segala masalah negara harus diselesaikan. Tinggal untuk dilaksanakan sahaja.

Jadi, apa alasannya sekarang?

Tidak mungkin kita mahu terus bermain dengan naratif hutang negara yang besar. Terakhir, saya melihat seruan menyokong kerajaan tersebut seolah-olah satu tamparan tersirat kepada rakyat.

Sepertinya rakyatlah punca kenapa segala dasar dan pelan kerajaan hari ini gagal, tertangguh atau terpaksa dibatalkan.

Sedangkan, hakikatnya jelas. Pelan-pelan dan inisiatif kerajaan hari ini yang tidak realistik, tidak mengambil kira keperluan rakyat dan yang paling penting, tidak disandarkan pada satu hala tuju yang jelas.

Saya faham kekecewaan Dr Mahathir. Hampir semua menteri yang tidak lekang dengan kontroversi rata-ratanya dari Bersatu. Ijazah palsu, tidak tamat belajar, dan pelbagai masalah integriti yang lain. Sudah pastilah perkara ini memalukan beliau.

Tetapi, tidak semua perkara harus dipulangkan kepada rakyat. Rakyat berhak memilih, berhak mengkritik dan berhak menuntut apa yang mereka rasakan terbaik untuk mereka dan untuk Malaysia. Rakyat tidak lagi akan menyokong secara membuta tuli.

Dalam semangat Malaysia baharu, kita percaya pada satu perkara - menurut biar berakal.


DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN adalah Naib Presiden Umno.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS