Paling Popular
Terkini

ULASAN | Baru-baru ini beberapa pihak telah mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjadi punca masalah yang dihadapi Pakatan Harapan (PH). 

Walaupun beliau tidak sempurna, tidak tepat untuk melabel beliau sebagai penghalang agenda reformasi.

Keputusan bersejarah bekas parti pembangkang untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir dibuat berdasarkan pertimbangan berikut:

Faktor peralihan undi Dr Mahathir

Dengan penyatuan perdana menteri ketika itu, Najib Razak dan PAS menjadikan pertembungan tiga penjuru yang menguntungkan BN, agak mustahil PH untuk menang di peringkat persekutuan pada PRU ke-14 jika tidak membentuk pakatan dengan Bersatu yang dipimpin Dr Mahathir.

Mengimbas semula Mac 2014, Najib Razak telah mula menarik PAS dalam genggaman Umno. Pada Februari 2015, Anwar Ibrahim dipenjarakan dan tidak lama selepas itu, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat pula meninggalkan kita. 

Pada bulan Jun tahun yang sama, golongan konservatif PAS membuat keputusan untuk menolak sepenuhnya golongan progresif dan parti itu berpecah selepas muktamar. 

Mereka yang terus bersama PAS telah bekerjasama dengan Najib. Penipuan Najib berdasarkan andaian bahawa undi menolak beliau akan pergi kepada PAS - bukannya PH - dan selepas menang pilihan raya, Umno dan PAS akan bersama-sama membentuk pemerintahan. Najib fikir dirinya mampu menang besar walaupun terpalit dengan salah satu skandal rasuah terbesar dalam sejarah.

 Tidak dinafikan bahawa perubahan kerajaan pada 9 Mei lalu jelas disebabkan kekecewaan terhadap Najib. 

Namun gabungan pakatan bersejarah antara Mahathir dan Anwar dan kemasukan Bersatu sebagai parti komponen PH, telah mengubah 15 hingga 20 peratus undi Melayu di bahagian pantai barat. Ia membolehkan PH mengatasi strategi ‘tiga penjuru’ Najib dan mengambil kuasa daripada BN.

Pemerintahan Dr Mahathir - Anwar

Keputusan parti komponen PH ketika itu - DAP, PKR dan Amanah - untuk membentuk pakatan dengan Bersatu hanya tercapai selepas tempoh masa yang panjang. Perbincangan dan rundingan penting pakatan ini ialah:

● 13 Disember 2016: Parti komponen PH yang sedia ada menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Bersatu yang dipimpin oleh Dr Mahathir.

● 27 Mac 2017: Dr Mahathir dan pemimpin Bersatu lain telah menghadiri mesyuarat Majlis Presiden, menandakan Bersatu secara rasminya menjadi ahli keempat PH.

● 14 Julai 2017: Pengumuman penting PH iaitu Dr Mahathir sebagai pengerusi, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden dan Anwar sebagai ketua umum.

● 7 Januari 2018: Pengumuman menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, Dr Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri dan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan, jika PH menang PRU ke-14.

 Sejak hari pertama, jelas sekali Dr Mahathir dan pemimpin Bersatu tahu bahawa agak mustahil untuk menjatuhkan kerajaan Najib tanpa pakatan bersama PH.

Keputusan menyertai PH adalah bukti Dr Mahathir dan Bersatu bersetuju bahawa kerajaan baru PH ialah kerajaan Mahathir - Anwar. Tanpa Dr Mahathir dan Bersatu atau gabungan PH yang diketuai Anwar, Najib akan terus bebas dan berkuasa.

Dr Mahathir cukup faham bahawa ini kerajaan Mahathir – Anwar, seperti mana Anwar faham bahawa ini kerajaan Anwar – Mahathir.

Kerjasama bersejarah antara Bersatu dan DAP

Pada 4 Mac 2016, Lim Kit Siang telah menerima jemputan Dr Mahathir untuk menghadiri mesyuarat Deklarasi Rakyat dan ini menandakan permulaan pakatan besar antara DAP dan Dr Mahathir.

‘Gabungan besar’ (grand coalition) merujuk percaturan dua pihak yang tiada kaitan atau berbeza pandangan bersatu menghadapi lawan dan matlamat yang sama.

Bukan mudah untuk dua pihak yang berbeza duduk bersama dan proses ini memerlukan banyak rundingan dan perbincangan. 

Gabungan besar seperti ini mampu menyelesaikan masalah yang selama ini dilihat tidak dapat diselesaikan, selagi ia masih mengekalkan pendekatan kerjasama dan penglibatan, dan saling menghormati.

Kerjasama antara DAP dan Bersatu memerlukan kita melepaskan kecurigaan selama ini dan mengakui perbezaan antara kita. Dengan kata lain, kebolehan untuk memimpin penyokong dan memacu arah pembinaan negara, kita mampu bekerjasama dengan erat bagi mencipta lanskap politik yang baru.

Kefahaman yang jelas atas keterangan di atas membolehkan kita maju ke hadapan untuk mencapai impian mereformasi Malaysia, satu langkah pada satu masa.


LIEW CHIN TONG adalah timbalan menteri pertahanan dan pengarah biro pendidikan politik DAP.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS