Paling Popular
Terkini

PRK SEMENYIH | Seperti di Cameron Highlands, kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak menghangatkan kempen pilihan raya kecil DUN Semenyih apabila beliau menerima sambutan cukup menggalakkan daripada masyarakat tempatan.

Setakat ini Najib telah bertandang sebanyak dua kali ke Semenyih dan dijadual akan turun sekali lagi ke kawasan itu, Sabtu ini.

Orang ramai misalnya tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan bergambar dengan bekas pemimpin negara itu yang kini mencipta sensasi internet dan digelar 'Bossku' di kalangan penyokongnya.

Walaupun tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan, rata-rata yang ditemui secara rambang masih menganggap Najib sebagai tokoh yang pernah memberikan sumbangan kepada negara.

Selain Najib, turut hadir menjayakan kempen di Semenyih ialah bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo.

Bagi Zakaria Alias, 64, yang juga pengundi di DUN Semenyih, beliau tidak dapat menyembunyikan rasa teruja dengan kehadiran pemimpin berkenaan, khususnya Najib.

"Mereka ini mempunyai sumbangan pada negara, jadi kehadiran mereka ke Semenyih adalah sesuatu yang amat mengujakan kerana dapat bertemu mata.

"Kita harap kehadiran mereka memberi suntikan semangat (kepada calon BN). Memang saya mahu jumpa mereka terutama Najib yang juga bekas perdana menteri," katanya yang ditemani isteri kepada Malaysiakini.

Bukan kerana fenomena 'bossku'

Sementara itu Mohd Noor Azmi Aiman, 39, berkata beliau mahu bertemu Najib bukan kerana fenomena "bossku", sebaliknya mahu melihat sendiri dengan lebih dekat bekas perdana menteri itu.

"Saya sememangnya teruja berjumpa dengan bekas perdana menteri dan ini sesuatu yang dinantikan. 

"Bukan kerana fenomena "bossku", sebaliknya memang saya menanti kehadiran beliau," tambahnya lagi.

Bagi Prabu Ganesh, 33 yang merupakan seorang pekerja swasta menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin yang baik.

"Banyak kebaikan yang beliau berikan untuk rakyat. Ramai orang sukakan Najib. Apabila Najib datang sini ribuan orang tidak melepaskan peluang untuk bertemunya," jelasnya.

Seorang lagi pekerja swasta, Veenod Kumar, 26, berkata sokongan rakyat terhadap Najib bukan dibuat-buat. 

Ini katanya menunjukkan rakyat di kawasan itu memberikan solidariti dan sokongan padu kepada bekas perdana menteri itu.

Nada sama juga disuarakan pekerja kedai runcit, Johnson Lazer 48, yang amat berterima kasih dengan kesudian bekas pemimpin itu turun ke Semenyih.

Katanya, meskipun bekas perdana menteri itu terpalit dengan pelbagai tuduhan, namun ia masih belum dapat dibuktikan sehingga kini.

'Hanya tarik sokongan Melayu'

Bagaimanapun nada berbeza disuarakan Loo Wee Keong, 36, yang menyifatkan kehadiran Najib tidak memberi kesan kepada pengundi di Semenyih.

"Mungkin boleh menarik sebahagian sokongan pengundi Melayu, bagaimanapun masyarakat Cina melihatnya sebagai pelakon filem terbaik," katanya.

Najib, perdana menteri keenam gagal mempertahankan jawatannya pada pilihan raya umum ke-14 lalu apabila BN tewas kepada Pakatan Harapan (PH) selepas 60 tahun berkuasa.

Di bawah kerajaan baru, Najib menghadapi tuduhan di mahkamah membabitkan kes rasuah berkaitan skandal 1MDB dan pengubahan wang haram.


Lihat Komen
ADS